Carian
Honor Perkenalkan Ciri Mengesan Video DeepFake Bagi Mengelakkan Penipuan
June 26, 2024 Effi Saharudin

Beberapa bulan lalu muncul laporan kakitangan sebuah syarikat kerugian wang simpanan selepas majikan meminta untuk meminjam wang menerusi panggilan video. Tanpa disedari identiti majikan dipalsukan menggunakan teknologi DeepFake dan wang dipindahkan sehingga kini belum dikembalikan. Di WMC Shanghai, Honor memperlihatkan teknologi mengesan video DeepFake yang terbina terus pada peranti.

Ciri AI Deepfake Detection ini melakukan analisa ke atas video yang terpapar pada skrin. Menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI), ia boleh memberitahu pengguna sama ada insan di dalam video adalah manusia sebenar atau sekadar topeng maya teknologi DeepFake. AI Deepfake Detection mengesan perbezaan cahaya, kedudukan mata dan ketajaman video untuk mengesan video palsu dalam masa sekitar tiga saat sahaja. Ia tidak memerlukan sambungan internet kerana kesemua proses AI dijalankan terus dari dalam peranti.

Turut diperlihatkan oleh Honor ialah AI Defocus Eye Protection yang akan dapat mengelakkan mata pengguna mengalami isu rabun jauh kerana menggunakan peranti untuk tempoh yang lama. Sistem ini melakukan simulasi seperti mata melihat objek jauh yang kabur.

Antara penyebab rabun jauh ialah anak mata yang memanjang kerana terlalu kerap memfokus pada objek jarak dekat. Menurut Honor isu myopia pada mata boleh dikurangkan antara 13 ke 75 darjah selepas menggunakan AI Defocus Eye Protection selama 25 minit.

Komen