Sudah bertahun saya tidak menggunakan Pinterest kerana sudah biasa mencatat idea menggunakan aplikasi nota sahaja. Pinterest dibangunkan sebagai enjin carian visual, di mana semua hasil carian boleh disemat dalam papan digital. Setiap papan ini kemudian boleh dikongsi atau dikunci untuk diri sendiri sahaja. Ramai menggunakan Pinterest sebagai tempat mencari idea, tempat simpan cita-cita dan babyak lagi. Terbaru, Pinterest turut kini boleh menjana video dengan mudah.

Setiap papan pada Pinterest atau Board kini boleh dijana menjadi video pendek untuk dikongsi kepada media sosial. Dalam kemas kini baharu ini, video yang dijana boleh disunting sebelum dimuat turun atau turut boleh terus dikongsi sebagai Instagram Stories. Menariknya, apabila terus dikongsi ke Instagram – pelekat dengan pautan untuk melihat papan Pinterest turut disediakan terus.
Antara sebab kenapa Pinterest menawarkan ciri ini adalah kerana mereka mendapati ramai pengguna Pinterest melakukan tangkapan layar papan mereka dan kongsi ke media sosial. Trend ini dikenali sebagai mecore dan sebanyak 585% carian trend ini dilakukan secara tahunan. Sehingga hari ini sudah terdapat lebih 10 bilion papan Pinterest dicipta dan ia kini sedia dikongsi oleh semua pengguna dalam bentuk video.