Carian
Syarikat Telekomunikasi Korea Selatan Menggunakan Perisian Hasad Pada Pelanggan Sendiri
June 27, 2024 Nazrin

Apabila bercakap mengenai serangan perisian hasad, kebiasaannya perkara ini hanya dilakukan oleh kumpulan-kumpulan penggodam yang mahu mendapatkan keuntungan cepat secara jahat. Lain pula ceritanya di Korea Selatan apabila baru-baru ini terdapat laporan bahawa sebuah syarikat telekomunikasi telah menggunakan teknik jahat ini pada pelanggan-pelanggan mereka sendiri.

KT ialah sebuah syarikat telekomunikasi yang besar di Korea Selatan. Sebuah laporan telah keluar baru-baru ini yang mengatakan bahawa syarikat telekomunikasi tersebut telah menjangkiti komputer seramai 600 ribu pelanggan mereka dengan perisian hasad sekitar bulan Mei 2020, empat tahun lalu.

Perkara ini dilaporkan pada mulanya oleh para pengguna perkhidmatan internet awanan Webhard, yang mengatakan bahawa fail-fail yang disimpan hilang, dan pelbagai masalah lain. Apabila pihak Webhard memeriksa isu tersebut, beliau mengatakan bahawa satu-satunya persamaan yang ada di kalangan semua pengguna yang bermasalah ialah penggunaan perkhidmatan internet KT.

Malah, apabila pihak KT ditanya mengapa isu ini hanya membelenggu pengguna mereka, seorang wakil menjawab bahawa perisian hasad telah dihantar kepada pelanggan KT yang menggunakan perkhidmatan Webhard untuk memaksa mereka menghentikan penggunaan perkhidmatan tersebut.

Jelas mereka lagi, perkara ini kerana salah satu perkhidmatan yang ditawarkan, iaitu Grid Program menggunakan sistem rakan-ke-rakan, yakni Bittorent yang menyebabkan rangkaian KT memperlihatkan isu dari segi penggunaan jalur lebar yang terlalu tinggi.

Perisian hasad yang dihantar oleh KT ke pengguna mereka hanya memberi isu keatas Grid Program ini, dengan mencipta folder baharu, memindahkan fail pengguna dan membuatkannya halimunan dan sukar untuk dicari.

Perkara ini nampaknya juga telah masuk ke mahkamah Korea Selatan, dan menariknya pihak mahkamah telah menyebelahi syarikat telekomunikasi tersebut, dan mengarahkan Webhard untuk membayar KT ke atas penggunaan jumlah jalur lebar yang tinggi.

Walaupun begitu, Webhard nampaknya masih lagi tidak beralah dan mengatakan bahawa pokoknya, KT masih lagi menggunakan perisian hasad untuk menyerang perkhidmatan mereka, dan perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka, malah kepada para pelanggan KT sendiri yang terkesan akibat perbuatan ini.

Komen