Carian
Rekaan Konsol Penstriman Xbox Keystone Diperlihatkan – Sayangnya Sudah Dibatalkan
June 27, 2024 Nazrin

Microsoft dan idea untuk peranti unik berpisah tiada. Begitulah kisahnya apabila dokumen rekaan untuk sebuah konsol “penstriman” untuk sebuah konsol Xbox baru telah diperlihatkan, yang diberikan nama “Keystone“.

Xbox Keystone ini hadir dengan rekaan yang cukup padat sekali, dengan lebar 15cm sahaja. Spesifikasi dalaman konsol ini tidak diketahui, tetapi menurut Phil Spencer, CEO Xbox konsol ini dibangunkan untuk tujuan memainkan melalui perkhidmatan penstriman Xbox Game Pass. Tiada butiran juga diberikan samada konsol ini akan menyokong penggunaan cakera, tetapi terdapat ruang bulat di bahagian atas konsol ini yang memperlihatkan seperti ia boleh memegang sejenis media seperti cakera padat.

Dari segi input, ia dilihat bahawa konsol ini akan hadir dengan palam HDMI, palam RJ-45 untuk sambungan internet berwayar, dan juga palam kuasa. Sayangnya, Phil Spencer juga nampaknya mengesahkan bahawa Xbox “Keystone” ini adalah sebuah produk yang tidak akan keluar ke pasaran, kerana produk ini tidak lagi dibangunkan.

Ini dilihat selari dengan kemungkinan bahawa Xbox Series X dan Series S mungkin konsol fizikal terakhir yang akan dikeluarkan oleh pihak Xbox, yang nampaknya sudah mengalihkan fokus mereka kepada pembangunan perkhidmatan langganan permainan komputer dan permainan video mereka.

Komen