Siri komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite akhirnya sudahpun mula memasuki pasaran Malaysia, dan kini, ASUS Malaysia sudahpun memulakan pra-tempahan untuk komputer riba CoPilot+ pertama mereka, iaitu ASUS Vivobook S 15.
Untuk pasaran Malaysia, komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dengan memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan juga storan SSD PCIe Gen4 sebesar 1TB.

Ia tampil dengan paparan skrin ASUS Lumina OLED bersaiz 15.6 inci dengan resolusi 2880×1620 dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga tampil dengan kebolehan mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3, mempunyai nilai kecerahan 600 nit dan menyokong teknologi DisplayHDR True Black 600 dengan nilai kecerahan 600 nit.
Sebagai sebuah komputer riba yang memfokuskan kepada penggunaan teknologi AI, Vivobook S 15 tampil dengan sejumlah teknologi AI terbina, termasuklah Windows Studio Effects, kamera ASUS AiSense IR yang dapat mengesan kecerahan pencahayaan sekeliling untuk mengurangkan ataupun meningkatkan kecerahan paparan dan Adaptive Lock, yang akan mengunci profil pengguna apabila mereka bergerak meninggalkan komputer, dan menyahkuncinya secara automatik apabila pengguna kembali menggunakannya.
Dari segi sokongan palam, Vivobook S15 mempunyai dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB 4 Type-C, satu palam HDMI 2.1 TMDS, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad MicroSD.

Sebagai sebuah komputer mudah alih nipis dan ringan, komputer riba ini juga hadir dengan bateri bersaiz 70Wh yang mana ASUS mengatakan bahawa ia hadir dengan jangka hayat selama 18 jam dengan satu pengecasan penuh. Ia juga menyokong teknologi internet nirwayar WiFi 7 yang terbaru.
Dalam pada itu, ASUS Vivobook S 15 juga hadir dengan rekaan nipis sekitar 14.7mm apabila paparan ditutup, dan mempunyai berat 1.47kg sahaja, yang membolehkannya dibawa kemana-mana dengan mudah.
Pra-tempahan untuk komputer riba ASUS Vivobook S 15 ini dibuka bermula hari ini pada harga RM6299 melalui Shopee dan ASUS e-Store. Setiap pra-tempahan komputer riba ini akan hadir dengan pengecas GaN 100W dan juga sambungan waranti satu tahun dimana kedua-dua tambahan ini hadir dengan nilai RM698.