Carian
Huawei Memperlihatkan Penawaran Storan SSD Pengguna Pertama Mereka – eKitStore Xtreme 200
June 28, 2024 Nazrin

Huawei ialah jenama teknologi yang tidak asing lagi namanya di seantero dunia. Mereka menawarkan pelbagai jenis produk untuk kegunaan ramai dari peranti pintar ke kelengkapan rumah dan juga komputer riba dan desktop.

Terkini, Huawei nampaknya akan memasuki arena komponen komputer pula dengan penawaran komponen pertama mereka, iaitu storan SSD dengan model eKitStor Xtreme 200. SSD ini hadir dengan beberapa konfigurasi storan, dari 512GB sehinggalah 4TB.

Dibina untuk komputer riba, storan SSD PCIe 4.0 ini juga tampil dengan kelajuan pembacaan data 7400MB/s dan kelajuan penulisan data 6400MB/s yang cukup pantas sekali. Untuk membantu SSD ini kekal beroperasi pada suhu optima, ia juga menggunakan penebat graphene untuk menyerap haba dari cip memori pada SSD ini.

Ia juga mempunyai ketahanan pembacaan dan penulisan data 4400TB sepanjang lima tahun, menjadikannya sebuah SSD yang hadir dengan jangkahayat yang agak panjang. Setakat ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Huawei akan menjual SSD ini, dan samada ia akan dijual diluar pasaran China.

Komen