Carian
Google Vids Kini Boleh Dicuba – Jana Pembentangan Video Dengan AI
June 28, 2024 Fahim Zahar

Google Vids adalah satu lagi perkhidmatan kecerdasan buatan generatif yang dikuasakan oleh model Gemini. Google Vids adalah perkhidmatan menjana video pembentangan dengan hanya memasukkan prom teks dan turut boleh dikepilkan sekali dokumen-dokumen dalam Google Drive. Selepas diperkenalkan pada bulan April lalu, Vids kini boleh diuji oleh semua yang layak.

Dalam cubaan saya membuka laman web docs.google.com/vids, ia membuka laman web mirip dengan Google Docs atau Sheets. Tekan butang terapung “+” untuk mula menjana video. Pengguna kemudian perlu memasukkan prom teks dan boleh tambah dokumen dengan memasukkan “@” serta nama dokumen. Google Vids kemudian akan berikan rangka kerja video.

Selepas selesai, pengguna boleh pilih tiga tema sebelum ia diproses dan dijana. Akhir sekali barulah pengguna dibenarkan melakukan pelbagai suntingan seakan menyunting fail slaid pembentangan. Setiap komponen dalam garis masa Google Vids boleh diubahsuai dengan pelbagai teks, boleh rakam video dan terus baca skrip dijana, boleh tambah muzik latar dan dalam setiap “slaid” turut akan ada video dijana AI yang bersesuaian dengan konteks prom pengguna.

Dalam cubaan saya, Google Vids boleh menjana video pembentangan rawak dengan durasi 30 saat ke hampir dua minit. Proses penjanaan adalah sekitar 10 saat dan video anda lihat di atas adalah 100% hasil janaan Google Vids tanpa sebarang suntingan. Untuk mencuba anda boleh pergi ke laman Google Vids;

Komen