Carian
Ulasan OPPO Reno12 Pro – Peranti AI Yang Lebih Mampu Milik?
July 9, 2024 Rihhadatul Aisy

Pada penghujung Jun lalu, Oppo melancarkan siri Reno12 secara rasmi di Malaysia dengan penawaran dua jenis model iaitu Oppo Reno12 dan Reno12 Pro. Kami di Amanz telah menerima model jenis Reno12 Pro ini kira-kira sebulan awal untuk menguji pretasinya. Model yang dibawa oleh Oppo kali ini menawarkan pengalaman fotografi yang lebih segar bersama dengan sokongan generatif AI yang dibangunkan bersama-sama oleh Oppo dan MediaTek. Justeru itu, artikel kali ini kami tuliskan untuk berkongsi mengenai pengalaman menggunakan Oppo Reno12 Pro.

SPESIFIKASI

Oppo Reno12 Pro
Skrin6.7″ AMOLED, FHD, 120Hz, HDR10+
Corning Gorilla Glass Victus 2
PemprosesDimensity 7300 Energy (4nm)
Cip4×2.5 GHz Cortex-A78
4×2.0 GHz Cortex-A55
GPUMali-G615 MC2
RAM12GB LPDDR4X
Storan512GB  UFS 3.1
Kamera Utama50 MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Telefoto)
8MP, f/2.2 (Ultra- lebar) 
Kamera Swafoto50MP f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi Nano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP65
Sistem ImbasanPengimbas cap jari bawah skrin
Pengimbas Wajah
Harga JualanRM2599 (12/512GB)

SKRIN

Ulasan ini kami mulakan dengan skrin terlebih dahulu dengan ia bersaiz 6.7” AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz dan tahap kecerahan puncak 1200 nits. Panel skrin adalah daripada jenis kaca Corning Glass 7i yang memberikan pengalaman penggunaan skrin yang cukup baik dan tahan lasak. Tiada masalah dari segi paparan skrin meskipun untuk menonton video, memainkan permua ataupun melayari media sosial. Untuk kebanyakan penggunaan skrin berfungsi dengan lancar dan dapat mengesan sentuhan dengan baik tanpa masalah seperti gagal mengesan sentuhan atau lengah masa.

Bezel di sekeliling skrin dilihat sekata dan tidak terlalu tebal menjadikan skrin peranti tetap saja tampak seimbang. Seterusnya, terdapat juga satu lubang kecil di bahagian atas skrin yang berfungsi sebagai kamera swafoto. Secara keseluruhan, skrin peranti menunjukkan paparan yang baik sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang cukup memuaskan. Menariknya lagi, skrin peranti ini juga adalah sangat tahan lasak dengan ia tidak akan mudah retak atau pecah jika terjatuh meskipun pada permukaan yang keras.

BIOMETRI

Ciri keselamatan dan privasi pula menyertakan pengimbas cap jari yang terbina di bahagian bawah skrin yang berfungsi dengan baik asalkan jari tidak berada dalam keadaan kotor. Ciri imbasan wajahnya pula cukup pantas dengan ia dapat mengesan wajah jauh lebih pantas sebelum saya sempat mengimbas cap jari pada skrin. Kebiasaannya, ia hanya mengambil masa sekitar satu sahaja untuk menyahkunci. 

REKAAN

Oppo Reno12 Pro ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Nebula Silver, Sunset Gold dan Space Brown dengan masing-masing memperlihatkan corak panel belakang yang berbeza. Model yang kami uji di Amanz ialah warna Nebula Silver yang memiliki corak panel belakang yang terlihat seakan cairan logam yang mengalir. Namun tiada tekstur aneh pada panelnya, kerana apabila disentuh panelnya adalah sangat rata dan licin.

Peranti ini hadir dengan tubuh 181g yang apabila dipegang, terasa ringan dan tidak membuatkan pergelangan tangan mudah terasa lenguh apabila digunakan untuk jangka masa yang lama. Selain ringan, rekaan peranti yang nipis (7.45mm) menjadikan peranti mudah untuk dikendalikan dalam banyak keadaan. 

Apabila skrin dihadapkan ke hadapan, butang kuasa dan butang laras suara berada pada bahagian sisi kanan tubuh peranti dan tiada sebarang butang diletakkan di bahagian kiri. Bahagian atas pula menempatkan lubang untuk pemancar IR. Manakala di bahagian bawah pula terdapat slot untuk kad SIM dan lubang untuk pengecasan dan juga speaker.

Pada bahagian belakang pula terdapat tiga bonggol kamera dengan susunan bonggol memanjang ke bawah dan sedikit timbul. Peranti ini turut dilengkapi dengan IP65 yang menjadikannya kalis air dan habuk. 

PENGGUNAAN & PERISIAN

Sistem operasi yang digunakan pada peranti adalah ColorOS 14.1 berasaskan Android 14 yang memberikan prestasi penggunaan yang baik dan lancar. Antaramuka yang ditunjukkan juga adalah terlihat kemas dan mudah difahami namun terdapat agak banyak aplikasi gendut yang disertakan. Kami juga telah cuba memainkan permua secara berulang kali pada peranti untuk melihat sejauh mana prestasinya bagi penggunaan memainkan permua dalam resolusi tinggi.

Secara keseluruhan peranti dapat beroperasi dengan lancar bersama dengan cip pemproses dan juga sistem operasi yang digunakan. Langsung tiada masalah lengah masa bahkan kualiti grafik permua yang ditunjukkan juga nampak tajam, terang dan cantik.

Sistem RAM Expension juga tersedia yang membolehkan sehingga 12GB RAM maya lagi ditambah. Saiz storan pada model yang kami uji pula adalah 512GB yang kami rasakan cukup besar untuk membolehkan kami memuat turun semua aplikasi yang dimahukan serta ruang penyimpanan gambar dan video yang sangat mencukupi.

Ciri AI

Kerana ciri AI kini adalah perlu pada telefon pintar, Oppo menawarkan juga beberapa ciri AI pada Reno12 Pro seperti di bawah.

  • AI Eraser 2.0 – Memadam elemen pada gambar dengan bantuan AI.
  • AI Clear Face – Memastikan wajah dalam gambar yang diambil kelihatan lebih jelas.
  • AI Best Face – Ciri ini boleh mengubah sebarang kekurangan pada gambar. Contohnya ialah seperti mata tertutup boleh dibuka dengan bantuan AI.
  • AI Smart Image Matting 2.0 – Gambar yang diambil boleh diubah menjadi pelekat secara automatik.
  • AI Studio – Menjana imej fantasi berdasarkan gambar sebenar yang ditangkap.
  • AI LinkBoost – Menggunakan AI untuk memastikan rangkaian selular dioptimasikan sepanjang masa.

PENANDA ARAS

Ini adalah hasil keputusan ujian prestasi cip Mediatek Dimensity 7300 Energy pada Oppo Reno12 Pro apabila dibandingkan dengan Samsung Galaxy A55 (Exynos 1480), Nothing Phone (2a) (Dimensity 7200 Pro) dan Oppo Reno11 F (Dimensity 7050) 

Antutu 3D

  • Oppo Reno12 Pro – 695,165
  • Samsung Galaxy A55 – 686,987
  • Nothing Phone (2a) – 685,115
  • Oppo Reno11 F 5G – 606353

Geekbench 6

  • Oppo Reno12 Pro – 794/2538
  • Samsung Galaxy A55 – 1120/3338
  • Nothing Phone (2a) – 1110/2589
  • Oppo Reno11 F 5G – 884/2164

3D Mark Wildlife Extreme

  • Oppo Reno12 Pro – 861
  • Samsung Galaxy A55 – 1049
  • Nothing Phone (2a) – 1157
  • Oppo Reno11 F 5G – Tiada

Melihat kepada keputusan ujian yang ditunjukkan, prestasi Oppo Reno12 Pro ini berada agak rendah berbanding dengan pesaingnya. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh pengalaman penggunaan prestasinya berada pada tahap yang baik dan tidaklah mengecewakan disamping terdapat pelbagai ciri canggih lain yang disediakan oleh Oppo pada model telefon pintarnya kali ini.

TELEFONI DAN GPS

Kualiti rangkaian 5G dan WiFi berada pada tahap yang baik dengan ia turut menyertakan ciri AI ke dalam sistem liputan rangkaiannya. Ciri AI LinkBoost yang disertakan menjadikan sambungan talian semasa membuat panggilan dapat berjalan lancar bersama dengan sistem navigasi yang tepat. Ciri ini turut dapat mengesan sekiranya kami masuk atau keluar daripada lif dengan ia akan menyambungkan semula rangkaian dengan cepat.

KAMERA

Kamera Oppo Reno12 Pro ini dilengkapi dengan 3 lensa kamera belakang yang cukup baik. Antaranya ialah kamera utama 50MP, kamera telefoto juga 50MP dan kamera ultra-lebar 8MP. Secara keseluruhan hasil gambar yang ditangkap menggunakan kamera Oppo Reno12 Pro adalah baik dengan hasil warna yang terang, tajam.

Tetapi hasil gambar mod malam agak sedikit mengecewakan dengan hasil gambar yang terlalu lembut, warna pudar dengan keperincian yang tidak terjaga. Wujud juga ralat dalam hasil gambar zum tambahan lagi apabila menggunakan fungsi zum digital.

Bagi ciri zum ia boleh mencapai sehingga 5X zum dan zum digitalnya pula boleh mencapai sehingga 20X zum. Hasil gambar zum sehingga 5X menunjukkan hasil gambar yang masih lagi tajam dengan keperincian yang terpelihara tetapi apabila memaksimumkan ciri zum sehingga 20X, hasil gambar dilihat tidak lagi terjaga keperinciannya serta warna turut menjadi pudar. 

Ditambah pula dengan beberapa ciri AI yang tersedia dalam sistem kamera dan suntingan hasil gambar menjadikan pengalaman menggunakan peranti untuk tujuan fotografi adalah cukup memuaskan. Antara ciri AI yang tersedia adalah seperti AI Eraser 2.0 dan AI Clear Face yang membolehkan sebarang objek yang tidak dimahukan dalam gambar boleh dipadam dengan mudah dan boleh mengubah gambar wajah yang diambil secara berkumpulan menjadi lebih jelas dan tidak kabur. Di samping itu, terdapat pelbagai lagi ciri AI lain yang tersedia seperti AI Image Matting dan AI Potrait

Hasil gambar potret menggunakan kamera ini juga memberikan hasil gambar potret yang cukup cantik bersama dengan keperincian yang tajam. Ciri potretnya dapat membezakan antara subjek dengan latar belakang dengan baik tanpa menjejaskan hasil dan kualiti gambar. Kamera peranti juga berupaya untuk mengambil rakaman video 4K menggunakan kamera belakang dan juga kamera hadapan. 

BATERI

Oppo Reno12 Pro mempunyai kapasiti bateri sebesar 5000 mAh dan menyokong pengecasan SUPERVOOC 80W. Sepanjang tempoh penggunaan, bateri dapat dicas dengan cukup pantas dengan ia hanya mengambil masa sekitar 50 minit sahaja untuk penuh dari peratusan bateri 1% ke 100%.

Kemudian, kapasitinya yang besar menjadikan jangka hayat bateri dapat bertahan sepanjang hari dalam penggunaan biasa seperti melayari media sosial, menonton video dan memainkan permua beberapa kali dalam sehari tetapi bukan dalam bentuk penggunaan yang ekstrem.  Dalam erti kata lain , saya hanya perlu mengecas peranti sekali sahaja dalam satu hari dan adakalanya selepas dua hari.

AUDIO

Pengalaman mendengar audio pada peranti pula adalah baik dengan ia memiliki pembesar suara stereo yang memberikan hasil bunyi ketika mendengar muzik dan menonton video terdengar mengasyikkan. Walau bagaimanapun, tiada bicu audio 3.5mm yang tersedia pada mana-mana bahagian tubuh peranti menjadikannya hanya menyokong penggunaan fon telinga berwayar untuk pengalaman mendengar audio yang lebih peribadi.

PERANTI PESAING

Oppo Reno12 ProSamsung Galaxy A55Nothing Phone (2a)
6.7″ AMOLED, FHD, 120Hz, HDR10+6.6″ SAMOLED, FHD ,120Hz, HDR10+6.7” AMOLED, FHD,
120Hz , HDR10+
Mediatek Dimensity 7300 Energy (4nm)
4×2.5 GHz Cortex-A78
4×2.0 GHz Cortex-A55
Exynos 1480 (4nm)
4×2.75 GHz Cortex-A78
4×2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 7200 Pro (4nm)
2×2.8 GHz Cortex-A715
6×2.0 GHz Cortex-A510
Mali-G615 MC2Xclipse 530Mali-G610 MC4
12 GB RAM LPDDR4x12 GB RAM LPDDR512 GB RAM LPDDR5
512GB ROM UFS 3.1
Mikro SD 1TB
256GB ROM UFS 3.1
Mikro SD 1TB
256GB ROM UFS 3.1
Kamera Utama
50 MP, f/1.8, OIS (Utama)
8 MP, f/2.0 (Ultra Lebar)
50 MP, f/2.2 (Telefoto)
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS (Utama)
12MP, f/2.2 (Ultra Lebar)
5MP, f/2.4 (Telefoto)
Kamera Utama
50MP, f/1.9 OIS (Sudut Lebar)
50MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K/30fps
Kamera Hadapan
50MP, f/2.0
Kamera Hadapan
32MP, f/2.2
Kamera Hadapan
32MP, f/2.2
IP65IP67Tidak Kalis Air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh Berwayar 80W5000 mAh (Berwayar 25W)5000 mAh(Berwayar 45W)
RM2599 (12G/512GB)RM1999 (12/256 GB)RM1699 (12/256 GB)

APA DALAM KOTAK?

  • 1x OPPO Reno12 Pro.
  • 1x Kerangka pelindung plastik.
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas USB-A 80W.
  • 1x Buku panduan dan keselamatan
  • 1x Pin SIM

KESIMPULAN

Kesimpulannya, secara keseluruhannya Oppo Reno12 Pro ini adalah sebuah peranti dengan suntikan AI yang baik dengan ia dapat menyediakan banyak ciri serta fungsi canggih khususnya dari aspek kamera dan fotografi potret. Harga yang ditawarkan mungkin sedikit mahal tetapi dengan ciri AI yang masih belum dimiliki banyak peranti di pasaran ketika ini menjadikannya harganya masih boleh diterima. Sokongan kalis air IP65 bersama dengan binaan tahan lasak dalam rekaan tubuh peranti juga menjadikannya sebagai sebuah peranti yang baik dan berkualiti.

Bagi mereka yang mahukan sebuah telefon pintar tahan lasak dan kemampuan tangkapan potret yang menawan maka Oppo Reno12 Pro ini boleh anda pertimbangkan. Kini harga bagi sebuah Oppo Reno12 Pro adalah RM2599 (12GB+512GB). 

PRO

  • Rekaan nipis dan ringan.
  • Prestasi kamera potret yang cantik.
  • Kapasiti bateri besar.
  • Terdapat pelbagai ciri AI yang berguna.

KONTRA

  • Harga agak mahal.
  • Hasil gambar ultra-lebar dan zum yang kurang memuaskan.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.
  • Banyak aplikasi gendut yang dimuatkan.
Komen