Carian
Purata Jumlah Memori Pada Komputer Riba Dijangka Meningkat Ke 11.8GB Pada Tahun Ini
July 1, 2024 Nazrin

Komputer riba dijangka akan hadir dengan jumlah penggunaan memori yang lebih tinggi pada tahun ini, khususnya kerana komputer riba AI yang dibangunkan bersama-sama dengan Microsoft, yang rata-rata memerlukan jumlah memori minima 16GB untuk menggerakkan ciri-ciri kecerdasan buatan Copilot yang terbina.

Menurut laporan TrendForce, pada tahun ini ia dijangka bahawa purata jumlah memori pada komputer riba akan meningkat ke 11.8GB berbanding dengan 10.5GB pada tahun lepas. Dari segi jumlah peningkatan, ia hanyalah penambahan 1.3GB berbanding tahun lepas, tetapi apabila dilihat dari segi peratusan, ia merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus.

Jika anda menanyakan tentang mengapa peningkatan 1.3GB sahaja diperlihatkan apabila banyak komputer riba yang dilancarkan tahun ini mempunyai memori 16GB, ini adalah kerana satu pasaran komputer riba masih lagi mempunyai banyak konfigurasi memori 8GB, iaitu Apple MacBook.

Kebanyakan komputer riba dan desktop Apple seperti MacBook Air dan Mac Mini masih lagi hadir dengan penawaran memori minima 8GB. Perkara ini mungkin akan berubah kelak apabila Apple menawarkan fungsi AI terbina didalam MacBook mereka, tetapi buat masa ini, pengoptimasian sistem operasi mereka membolehkan pengguna peranti-peranti ini untuk menanfaatkan jumlah memori yang rendah.

Trend penggunaan memori yang lebih banyak didalam komputer desktop dan komputer riba juga dijangka akan meningkat dari tahun ke tahun, jika tidak dari suku ke suku, khususnya apabila penawaran memori seperti CAMM2 dijangka akan bermula tidak lama lagi.

Komen