Carian
Indonesia Enggan Bayar Wang Tebusan $8 Juta Untuk Menyahkunci Data Pusat Data Nasional
June 29, 2024 Effi Saharudin

Minggu ini Indonesia mengesahkan Pusat Data Nasional mereka telah menjadi mangsa perisian tebusan LockBit 3.0. Akibatnya 210 perkhidmatan agensi kerajaan pusat serta tempatan terganggu dan sehingga hari ini masih belum pulih sepenuhnya. Kumpulan penggodam memindah wang tebusan $8 juta untuk mengembalikan data yang dikunci tetapi kerajaan Indonesia mengatakan mereka tidak akan membayarnya.

Oleh sebab itu kesemua perkhidmatan yang terjejas dijangka hanya akan pulih menjelang pertengahan Ogos. Ketika artikel ditulis, hanya 2% data yang dikunci oleh LockBit berjaya dipulihkan semula. Pelbagai agensi kerajaan Indonesia kini menuding jari sesama sendiri sebagai penyebab serangan ini berlaku. Menteri Komunikasi Indonesia, Budi Arie Setiadi menyalahkan agensi kerajaan yang terkesan kerana tidak melakukan sandaran dengan kerap dan bergantung kepada kementerian beliau untuk melakukan sandaran bagi pihak mereka.

Masalah ini menjadi serius kerana data Pusat Data Nasional didapati tidak melakukan sandaran dengan kerap. Jika sandaran dilakukan, perkhidmatan boleh dipulihkan dalam masa sehari sahaja.

Mei lalu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan dakwaan ke atas Dmitry Yuryevich Khoroshev yang merupakan antara pembangunan LockBit. FBI pula menawarkan ganjaran $10 juta (~RM48 juta) untuk maklumat yang akan menyebabkan beliau boleh ditangkap. Setakat ini dianggarkan terdapat lebih 2000 mangsa LockBit di seluruh dunia dengan sebanyak $500 juta wang tebusan telah dibayar.

Komen