Bukan perkara yang mengejutkan apabila terdapat butiran dan imej prototaip Google Pixel Fold generasi pertama yang telah dibatalkan. Semua tahu yang Pixel Fold dilancarkan lebih lewat berbanding pesaing dan Google telah cuba banyak kali menjayakan projek telefon lipat mereka. Butiran Pixel Fold yang tertiris ini dilihat banyak persamaan dengan Pixel 6.
Kewujudan prototaip ini juga bukan rahsia kerana Ivy Ross iaitu ketua rekaan produk Google pernah mendedahkannya pada tahun lepas. Pixel Fold yang dibatalkan ini menggunakan dua kod nama iaitu pipit dan passport sebagai dua projek berbeza yang kemudiannya digabungkan menjadi satu sahaja iaitu pipit. Jelas kelihatan, Pixel Fold ini menggunakan rekaan bar kamera Pixel 6 berbanding bonggol kamera seakan Pixel 7 Pro.
Rekabentuk peranti secara keseluruhan adalah lebih kurang sama dengan Pixel Fold sekarang iaitu mengikut konsep Oppo Find N. Pixel Fold generasi pertama yang dibatalkan ini dijana dengan cip Tensor G2, menggunakan kamera Sony IMX363 yang sama dengan Pixel 3, dan turut menyokong stilus. Pixel Fold ini turut mempunyai saiz lebih kecil tetapi saiz skrin yang sama dengan Pixel Fold sekarang.

Peranti ini dibatalkan kerana didakwa tidak memenuhi piawaian yang Google mahukan. Walaupun Pixel Fold bukan telefon lipat yang sempurna, konsep yang dibawakan cukup menarik sehingga ramai yang membelinya di Malaysia dengan harga mencapai lebih RM9000. Apa kata anda mengenai Pixel Fold?