Carian
Apple Vision Pro Turut Akan Menyokong Apple Intelligence
July 1, 2024 Fahim Zahar

Apple Intelligence adalah ciri kecerdasan buatan generatif oleh Apple yang memfokuskan kepada pemprosesan dari dalam peranti. Ia sedia terbina pada peranti dengan mana-mana cip Apple Silicon atau A17 Pro. Ia turut memerlukan memori sekurang-kurangnya 8GB RAM. Terbaru, Apple Intelligence dikatakan turut akan ke Apple Vision Pro.

Ciri seperti merumuskan notifikasi, membantu menulis emel, Genmoji, Siri serba baharu dan banyak lagi dilaporkan oleh Mark Gurman akan tiba ke set kepala canggih Apple ini. Ciri ini turut tidak akan tiba pada tahun ini kerana ia masih dalam peringkat pembangunan dan pasukan jurutera Apple ingin memastikan ciri Apple Intelligence mereka berfungsi dengan baik untuk alam pengkomputeran spatial.

Apple Intelligence turut akan ke HomePod tetapi bukan yang sedia ada. Model sedia ada menggunakan memori 1GB RAM jadi tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk memproses teknologi kecerdasan buatan generatif Apple ini. Sebaliknya, HomePod baharu dengan skrin sesentuh mungkin akan menjadi peranti AI Apple yang seterusnya. Apple Intelligence turut dikatakan adalah produk digital Apple paling penting dan mungkin menerima kemas kini sepertimana iCloud dan produk Apple lain.

Pada masa yang sama, Apple turut telah memulakan pembangunan iOS 19, macOS 16, watchOS 12, dan visionOS 3. Masing-masing mempunyai projek dengan kod nama Luck, Cheer, Nepali dan Discovery. Walaupun iOS 18 dan sistem operasi baharu lain belum tiba ke fasa stabil, versi generasi baharu perlu dibangunkan untuk dikeluarkan mengikut jadual seperti biasa.

Komen