Carian
NFC Forum Mengumumkan Piawaian “Multi-Purpose Tap”
July 2, 2024 Fahim Zahar

NFC Forum adalah badan piawaian untuk teknologi komunikasi Near Field Communication atau NFC. Antara ahlinya adalah Apple, Google, Huawei, Identiv, Infineon, NXP, Qualcomm, Sony, dan ST Microelectronics. Baru-baru ini mereka telah mengumumkan piawaian untuk ciri NFC Multi-Purpose Tap.

Idea utama ciri ini bukannya baharu, NFC Forum mahukan konsep nirsentuh sama ada untuk pembayaran, pengesahan, nyahkunci sesuatu dan banyak lagi menjadi perkara biasa ditawarkan pada pelbagai peranti tidak kira telefon atau peranti boleh pakai. Antara ciri yang mereka nyatakan boleh diperkenalkan adalah pembayaran nirsentuh yang membolehkan pengguna terus menerima resit dan mata ganjaran, mudah membeli tiket penerbangan dengan diskaun, sentuh bungkusan produk untuk dapatkan informasi lanjut, pengesahan identiti, dan banyak lagi.

Untuk menjayakan ciri ini pengeluar peranti perlu benarkan ciri baca dan tulis menggunakan NFC pada peranti masing-masing, kemudian setiap pengeluar terminal pembayaran, penyedia mata ganjaran untuk pelbagai perkhidmatan, setiap penjual tiket tidak kira untuk hiburan atau penerbangan turut perlu mengintegrasikan sokongan NFC untuk mudah peranti membaca data yang sepatutnya.

NFC Forum turut telah menyediakan panduan NFC Multi-Purpose Tap: One Tap, Unlimited Potential. Dengan jenama besar seperti Apple, Google, Huawei dan ramai lagi diharapkan akan datang peranti masing-masing turut boleh menyokong ciri NFC yang lebih maju dan berguna ini.

Komen