Carian
Kesatuan Pekerja Samsung Akan Mengadakan Mogok Di Korea Minggu Depan
July 2, 2024 Effi Saharudin

Kesatuan Pekerja Samsung Nasional (NSEU) di Korea Selatan memulakan mogok bermula 8 Julai depan. Hampir 30,000 kakitangan yang bersamaan dengan 20% tenaga kerja Samsung Electronics tidak akan bekerja selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi oleh majikan. Bulan lalu, NSEU telahpun mengadakan mogok sehari juga atas sebab yang sama.

Mogok dianjurkan bagi meminta kenaikan bayaran bonus berdasarkan prestasi dan tambahan hari bercuti. Ia dilakukan hanya beberapa hari sebelum acar Unpacked berlangsung di Paris bagi melancarkan siri Galaxy Z Fold6, Z Flip6, Galaxy Watch7, Galaxy Buds3 dan Galaxy Ring.

Samsung ialah chaebol yang menyumbang lebih 22% kepada KDNK Korea Selatan menerusi perniagaan pembinaan, perkapalan, elektronik dan ketenteraan. Mogok yang dianjurkan kesatuan pekerja ini pasti mendatangkan impak kepada Samsung Electronics yang berhadapan dengan isu kehilangan status sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia kepada Apple serta persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar China.

Komen