Carian
ANGKASA-X, ADASpace Dan Cangyu Space Technology Menandatangani Perjanjian Kolaborasi Teknologi Angkasa Lepas
July 2, 2024 Nazrin

ANGKASA-X, sebuah syarikat pembangun teknologi internet satelit tempatan hari ini telah menandatangani perjanjian kolaborasi bersama dua buah syarikat teknologi angkasa lepas dari China, iaitu ADA Space dan juga Cangyu Space Technology.

ADA Space merupakan sebuah syarikat pembangun teknologi internet satelit yang terdiri daripada pelbagai sektor teknologi, termasuklah dari sektor kerajaan, pengajian tinggi, ketenteraan dan juga pusat penyelidikan di sekitar China, manakala Cangyu Space Technology dikenali untuk pembangunan teknologi sambungan dan penghantaran data dari angkasa lepas.

ANGKASA-X mempunyai pelan hala-tuju mereka sendiri untuk membangunkan rangkaian internet satelit yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja oleh para penduduk luar bandar di Malaysia, tetapi di sekitar Asia Tenggara juga.

Pada tahun lepas, ANGKASA-X telah melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 sebagai sebahagian daripada rangkaian satelit orbit rendah (Low Earth Orbit) A-SEANLINK. Terkini, ANGKASA-X juga telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mendapatkan 500 kedudukan LEO di sekitar kawasan orbit Khatulistiwa melalui pihak International Telecommunication Union (ITU) pada bulan Februari 2024 yang akan digunakan untuk melancarkan rangkaian sambungan internet satelit di sepanjang rantau Asia Tenggara kelak.

Dalam pada itu, kerjasama tiga-hala diantara ANGKASA-X. ADA Space dan juga Cangyu Space Technology ini akan melibatkan pembangunan infrastruktur yang termasuklah pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi satelit, bersama-sama pemasangan, integrasi dan ujian (Assembly, Integration, and Testing) di Malaysia.

ANGKASA-X mempunyai peta jalan merea sendiri, dan kini dilihat berada dalam fasa pembangunan dan melancarkan 500 satelit LEO, dimana mereka kemudiannya akan mula melancarkan perkhidmatan Satelite-as-a-Service mereka. Untuk ini, ANGKASA-X dilihat sedang membangunkan pusat data dan pusat penyelidikan AI yang berpengkalan di Kuching, Sarawak. Sebuah pengkalan bumi juga akan dibangunkan di Penang Technology Park tidak lama lagi.

Menurut CEO ANGKASA-X, Dato’ Dr. Sean Seah, sejumlah kecil satelit-satelit yang dibangunkan bersama-sama ADA Space dan Cangyu Space Technology ini akan dilancarkan dalam masa satu ke dua tahun lagi.

Komen