Carian
Meta Merancang Membawa Teknologi AI Generatif Ke Permainan Dalam Metamesta
July 3, 2024 Fahim Zahar

Sana AI, sini AI, di mana sahaja semuanya pasti ada AI. Terkini, Meta dikatakan ingin mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan generatif pada permainan di dalam dunia metamesta. Fokus utama mereka adalah untuk metamesta Horizon World, tempat di mana pelbagai permainan dan alatan produktiviti boleh dimainkan atau digunakan.

Informasi ini diperoleh melalui senarai mencari kerja yang disenaraikan oleh Meta di LinkedIn. Mereka sedang mencari pekerja untuk Emerging Tech (GenAI). Jawatan ini bertanggungjawab dalam membentuk strategi penggunaan teknologi kecerdasan buatan generatif Meta untuk mencipta kandungan dan permainan. Selain turut perlu mencari jalan mengintegrasikan projek baharu ke seluruh platform Meta. Permainan baharu dengan AI ini turut perlu berubah setiap kali ia dimainkan oleh pengguna.

Jawatan Emerging Tech (GenAI) ini adalah untuk pekerjaan di Meta Reality Labs iaitu bahagian yang bertanggungjawab untuk Meta Quest, Horizon World dan banyak lagi. Walaupun jutaan Meta Quest berjaya dijual, masih tidak ramai menyertai dan menggunakan Horizon Worlds. Idea mengintegrasikan AI generatif ke dalam permainan khusus untuk Horizon World mungkin idea bijak. Diharapkan selepas Meta Quest semakin maju dengan AI, ia akan dijual di Malaysia secara rasmi. Adakah anda bersetuju?

Komen