Carian
Amerika Syarikat Membuat Pelaburan Dalam Pembangunan Tenaga Kerja Cip Semikonduktor
July 3, 2024 Nazrin

Kerajaan Amerika Syarikat memperkenalkan CHIPS Act beberapa tahun dahulu dalam usaha untuk membangunkan industri cip semikonduktor di negara tersebut untuk memenuhi permintaan pelbagai syarikat teknologi yang berpengkalan di negara tersebut.

Walaupun kerajaan tersebut telah memperuntukkan wang sebanyak $40 bilion untuk mengusahakan industri tersebut, satu isu utama yang diperlihatkan kini ialah kekurangan tenaga kerja untuk industri tersebut. Walaupun Amerika Syarikat dikenali sebagai sebuah negara yang tampil dengan banyak kemasukan tenaga pekerja pakar dari luar negara, isunya kini ialah mereka mahukan lebih ramai tenaga pekerja tempatan untuk industri ini. Menjelang 2030, ia dianggarkan bahawa negara tersebut akan kekurangan seramai 67,000 tenaga pekerja yang diperlukan untuk sektor pengeluaran cip semikonduktor ini.

Untuk ini, kerajaan Amerika Syarikat, melalui National Semiconductor Technology Center (NSTC) akan mengeluarkan geran sebanyak $500 ribu sehingga $2 juta untuk pelbagai jenis program untuk memastikan bahawa Amerika Syarikat mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk membangunkan industri tersebut.

Program-program ini dijangka akan dibangunkan bersama syarikat-syarikat pembuat cip semikonduktor terkemuka seperti Intel, TSMC, Samsung, Micron dan sebagainya, yang mana mereka telahpun menerima sekitar $40-50 juta khususnya untuk pembangunan tenaga kerja.

Ia juga dijangka bahawa dengan pelan baru ini, Amerika Syarikat akan menambahkan sekitar 115 ribu tenaga kerja baru didalam sektor ini menjelang 2030 kelak.

Komen