Carian
Orient Telecoms Menawarkan Pelan Orbit 10000 – Sambungan Internet 10Gbps Untuk Sektor Korporat
July 3, 2024 Nazrin

Orient Telecoms ialah sebuah syarikat pembekal rangkaian internet yang dibangunkan pada tahun 2016 untuk perniagaan-perniagaan kelas premium yang memerlukan sambungan internet yang sangat pantas. Sebelum ini, mereka memperkenalkan pelan rangkaian internet Orbit 1000 yang memperlihatkan sambungan internet 1Gbps.

Hari ini, Orient Telecoms memperkenalkan pelan rangkaian internet terbaru dan terpantas mereka, iaitu Orbit 10000, iaitu pelan rangkaian internet yang hadir dengan kelajuan muat-turun dan muat-naik data sepantas 10Gbps.

Orient Telecoms mengatakan bahawa produk ini dipasarkan kepada sektor korporat, khususnya industri perbankan, kerajaan, hospital, institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat korporat yang memerlukan kadar penghantaran data yang tinggi setiap hari.

Selain daripada sambungan internet yang pantas ini, Orient Telecoms juga menawarkan perjanjian SLA (Service Line Agreement) dengan kadar masa operasi aktif 99.99 peratus, bersama-sama dengan penawaran sekuriti yang menjanjikan rangkaian internet dan intranet yang sentiasa selamat dari serangan penggodam.

Dalam pada itu, Orient Telecom juga membangunkan rangkaian mereka sendiri menggunakan teknologi Active Metro Ethernet, berbeza dengan kebanyakan syarikat pembekal internet berkelajuan tinggi lain yang menggunakan Passive Optical Network untuk perkhidmatan mereka.

Dengan teknologi ini, Orient Telecoms mengatakan bahawa mereka boleh meningkatkan skala kelajuan rangkaian mereka ke tahap yang diperlukan oleh para pelanggan mereka, berbeza dengan syarikat-syarikat lain yang perlu menaiktarafkan kelengkapan mereka sekiranya mereka mahu meningkatkan kadar kelajuan rangkaian sedia ada.

Orient Telecom mengatakan bahawa buat masa ini, pelan Orbit 1000 dan Orbit 10000 ini hanya ditawarkan kepada syarikat-syarikat korporat di kawasan Lembah Klang terlebih dahulu, dan akan dikembangkan ke kawasan-kawasan lain seperti utara Malaysia, pantai timur dan Sabah dan Sarawak dalam masa tiga ke lima tahun akan datang.

Dari segi langganan, pihak Orient Telecom mengatakan bahawa bayaran untuk pelan internet mereka bermula dari USD$1000, dan ia bukan sahaja menawarkan kelajuan internet pantas semata-mata. Dengan langganan ini, mereka juga menawarkan pelbagai ciri keselamatan terbina, seperti Zero Trust Network, Cleanpipe DDoS Protection dan sekuriti rangkaian yang menjanjikan rangkaian yang selamat dari serangan penggodam yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Sekiranya sebarang isu berlaku kepada pelanggan rangkaian ORBIT 1000 ataupun ORBIT 10000, Orient Telecoms mengatakan bahawa sebarang isu yang berlaku akan diselesaikan dalam masa empat jam, tidak mengira masa, waktu dan hari, samada ia adalah hari bekerja ataupun cuti am.

Orient Telecoms mengatakan bahawa pelan Orbit 10000 ini mula ditawarkan hari ini, dan mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya boleh melayari laman web mereka di pautan ini.

Komen