Carian
DJI Menyertai Arena Basikal Elektrik Dengan Amflow PL
July 3, 2024 Effi Saharudin

DJI cukup dikenali sebagai pengeluar dron, kamera digital, gimbal kamera dan juga mikrofon yang berkualiti tinggi. Kini mereka memasuki pula arena basikal bukit elektrik (eMTB) dengan Amflow PL. Amflow akan menjadi jenama untuk eMTB keluaran mereka. Basikal ini dilengkapi sistem Avinox yang menawarkan motor dengan kuasa 850W dan tork 105NM bagi membantu pendakian bukit.

Amflow PL dilengkapi pilihan bateri 800Wh atau 600 Wh yang masing-masing memberikan jarak perjalanan 157 dan 117 km. Bateri boleh dicas semula ke tahap 75% dalam masa 90 minit menggunakan pengecas pantas GaN 2A/508W. Sistem pemanduan Avinox boleh memberikan lima tahap bantuan kayuhan basikal mengikut keperluan penunggang. Mod automatik misalnya akan memberikan bantuan secara automatik dengan melihat kayuhan.

Keseluruhan basikal hanya seberat 19.2kg kerana kerangka diperbuat daripada bahan gentian karbon. Terdapat sistem gantungan daripada FOX dan brek pula oleh Magura. dengan saiz tayar yang disokong pula adalah 27.5″ dan 29″. Sebuah skrin 2″ OLED sesentuh terletak pada kerangka dengan ia memaparkan maklumat bateri, waktu dan kelajuan basikal.

Skrin ini boleh dikawal dengan sentuhan atau menggunakan dua alat kawalan bluetooth terbina pada pemegang. Sistem GPS terbina akan memberikan amaran sekiranya basikal bergerak tanpa kebenaran dan lokasinya boleh dijejak menerusi aplikasi telefon pintar. Terdapat juga sebuah port USB yang boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar.

Amflow PL akan dijual bermula Q4 2024 dengan harga antara €7,000 (~RM 35,580) dan €12,000 (~RM 61,000) bergantung kepada model serta kapasiti bateri yang digunakan.

Komen