Carian
Rekaan CMF Phone 1 Dengan Beberapa Aksesori Tertiris
July 3, 2024 Effi Saharudin

CMF Phone 1 akan dilancarkan pada 8 Julai depan dan kini akhirnya rekaan sebenar peranti dengan beberapa aksesori telahpun tertiris ke internet menerusi ciapan Ishan Agarwal. Yang menjadikan gambar yang tertiris kali ini menarik ialah dapat dilihat aksesori tali lanyard, panel belakang boleh digantikan, tongkat dan kelihatan seakan pek bateri tambahan.

Dapat juga dilihat pemutar skru merangkap pin mengeluarkan talam SIM. Berdasarkan imej yang diacah skru pada bahagian belakang boleh ditanggalkan untuk mengubah warna panel. Ia turut mengesahkan tombol bulat pada bahagian bucu bawah adalah untuk meletakkan aksesori tali lanyard dan tongkat bukannya untuk mengawal audio seperti yang disangka sebelum ini.

Dwi kamera di belakang juga disusun secara menegak seperti pada Nothing Phone (1). Secara keseluruhan CMF Phone 1 ialah telefon dengan ciri yang sangat unik. Jika Nothing Phone (1) mempunyai lampu, CMF Phone 1 pula hadir dengan aksesori modular yang lain daripada yang lain.

Spesifikasi CMF Phone 1 ialah skrin 6.7-inci AMOLED 120Hz, cip MediaTek Dimensity 7300, memori sehingga 8GB RAM, storan 128GB, kamera utama 50MP dengan sensor kedalaman, kamera swafoto 16MP dan bateri 5000 mAh yang menyokong pengecasan 33W.

Komen