Isu banjir bukanlah suatu isu yang baharu di negara, akan tetapi kesannya dilihat terus memberi kerugian besar kepada sebilangan penduduk di Malaysia – khususnya buat mereka yang berdepan masalah banjir di lokasi perumahan.
Maka untuk memastikan situasi ini tidak memberi kesan kepada pengguna, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan sebuah portal memaparkan peta kejadian banjir akan dilancarkan dan diakses kepada orang awam mulai akhir tahun 2024 ini.

Portal ini menurut PETRA pada jawapan lisan Dewan Rakyat – adalah kesinambungan hasil pembangunan portal perkongsian peta kejadian banjir yang telah dibangunkan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.
Bagi memastikan perkongsian peta ini dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat – maka sesi libat urus bersama wakil kerajaan negeri, agensi persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi swasta telahpun dilaksanakan bermula tahun 2023.
Kesemua pihak ini dimaklumkan telah menzahirkan maklum-balas positif akan perkongsian maklumat tersebut dan dijangka dapat direalisasikan pada penghujung tahun ini. Menerusi aturan itu ia sekaligus akan membantu pengguna khususnya bakal pembeli rumah untuk menghindari daripada pembelian rumah yang berisiko banjir di masa hadapan.