Carian
Western Digital Dan Kioxia Memperlihatkan Cip 3D NAND 2Tb – Memacu Pembangunan SSD Dengan Storan 16TB
July 4, 2024 Nazrin

Western Digital dan Kioxia baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah mengeluarkan cip NAND 3D QLC terbaru mereka yang hadir dengan kapasiti 2Tb, yang nampaknya akan dimanfaatkan untuk membina storan SSD M.2 yang akan hadir dengan kapasiti sebesar 16TB kelak.

Cip 3D NAND QLC terbaru WD dan Kioxia ini dibina menggunakan proses BiCS8 218 lapis yang membolehkan cip 2Tb atau 256GB ini dihasilkan secara besar-besaran. Cip terbaru ini juga dilaporkan boleh mempunyai kadar penghantaran data sepantas 3600MT/s dan menurut Kioxia lagi, 70 peratus lebih cekap dari cip 3D NAND mereka sebelum ini dari segi penggunaan tenaga elektrik untuk penghantaran data pantas ini.

Menurut Kioxia, penggunaan cip 3D NAND QLC 2Tb ini lebih memfokuskan terhadap aplikasi pusat data dan adi komputer yang digunakan untuk memproses tugasan kecerdasan buatan dan buat masa ini bukan untuk pengguna biasa.

Untuk pengguna yang mungkin mahukan storan SSD PCIe yang pantas, WD dan Kioxia mengatakan bahawa mereka juga telah membangunkan cip NAND 3D QLC 1Tb yang lebih sesuai untuk produk kelas pengguna, dari segi pilihan storan dan juga tanda harga yang lebih mampu milik.

Komen