Carian
Ulasan OPPO A3 Pro – Tiket Mesra Bajet Ke Dunia Peranti 5G
July 11, 2024 Rihhadatul Aisy

Pasaran telefon pintar dengan kebolehan akses 5G kini semakin berkembang, demikian itu muncul OPPO A3 Pro 5G sebagai pesaing dalam pasaran semasa di samping ia hadir dengan penawaran harga yang lebih mesra poket. Persediaan peranti ini tampil dengan ia seakan cuba merapatkan jurang di antara harga bajet dengan spesifikasi yang menarik seperti paparan 120Hz yang lancar dan bateri yang tahan lama.

Tetapi secara keseluruhan adakah benar OPPO A3 Pro 5G ini berupaya merapatkan jurang berkenaan tanpa mengorbankan prestasi?. Justeru itu, ulasan kali ini ditulis untuk mendedahkan kekuatan dan kelemahan telefon pintar ini di samping membantu anda untuk membuat keputusan sama ada telefon mesra bajet dengan sambungan 5G ini adalah pilihan yang tepat atau tidak.

SPESIFIKASI

OPPO A3 Pro
Skrin6.67″  LCD, 120Hz. 1604 x 720 pixel,
Panda Glass
PemprosesMediatek Dimensity 6300 (6nm)
Cip2×2.4 GHz Cortex-A76
6×2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256GB  UFS 2.2
Kamera Utama50 MP, f/1.8 (Utama)
2 MP, f/2.4 (Potret) 
Kamera Swafoto8MP f/2.0
Bateri5100 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi Nano/5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas cap jari bawah skrin
Pengimbas Wajah
Harga JualanRM1,099 (8/256GB)

SKRIN

Skrin 6.67” LCD dengan kadar segar semula 120Hz bersama dengan tahap kecerahan puncak 1000 nits. Bagi paparan, skrin peranti hanya menyokong paparan HD+. Warna pada skrin nampak terang dengan semua sentuhan dapat dikesan dengan baik bersama dengan tahap kelancaran yang boleh diterima. Kami boleh memainkan kandungan video dan permua tanpa isu ralat yang menghampakan. Sistem haptiknya menghasilkan getaran yang tidak terasa semula jadi tetapi masih saja baik dan boleh mengesan sentuhan dengan baik.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari terletak pada butang kuasa di bahagian sisi peranti. Ia dapat mengesan cap jari dengan pantas dan responsif. Peranti juga boleh dinyahkunci menggunakan wajah dengan baik tetapi hanya dalam keadaan yang cukup pencahayaan. Cubaan menyahkunci peranti dalam keadaan yang agak gelap menjadikannya seringkali gagal mengesan wajah. Ini mungkin disebabkan oleh keupayaan lensa kamera hadapan yang hanya 8MP.

REKAAN

Rekaan tubuh OPPO A3 Pro ini pada hemat kami tampak tidak begitu premium tetapi kemas dengan elemen minimalis. Peranti ini hadir dengan dua pilihan warna iaitu warna Starry Black dan Moonlight Purple. Kami di Amanz menerima warna Starry Black dan secara peribadi kami sukakan warna ini dengan panel tubuh belakangnya bersama kemasan matte yang tidak mudah terlihat kotor.

Rekaan peranti nampak kemas dengan terdapat seakan-akan tiga lensa kamera yang disusun secara memanjang ke bawah. Sebaliknya hanya dua daripadanya adalah lensa kamera dan satu lagi adalah lampu flash. Seperkara yang kami suka mengenai rekaannya ialah apabila diletakkan di atas meja, peranti ini dapat diletakkan dengan rata. Ini kerana binaan lensa kameranya tadi tidak timbul dan hampir rata pada tubuh peranti.

Dalam kebanyakan keadaan, kami dapat menggunakan peranti dengan selesa kerana ia sangat ringan dan juga tidak licin. Tetapi sejujurnya, tubuh ringannya menjadikan ia tidak terasa premium apabila dipegang. Namun bahagian sisi tubuh peranti yang berkotak menjadikannya terlihat teguh dan tahan lasak.

Pada bahagian sisi kanan, terdapat butang kuasa dan laras suara dengan kedua-duanya berfungsi dengan baik dan sedap ditekan. Sisi kiri pula menempatkan talam untuk kad SIM. Pada bahagian atas tiada sebarang lubang atau pemancar IR manakala di bawah pula terdapat lubang pengecasan, pembesar suara dan bicu audio 3.5mm.

Satu pujian harus diberikan pada peranti, kerana ia melepasi piawaian IP54 yang membolehkannya kalis air dan juga habuk. Meskipun tahap IP rating adalah agak rendah tetapi setidaknya ia memiliki ciri berkenaan meskipun kebanyakan peranti pada harga mesra bajet dilihat kebiasaannya tidak lagi menawarkan ciri tersebut.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Sistem operasi ColorOS 14.0 digunakan berasaskan Android 14 digunakan dan secara keseluruhan pengalaman menggunakan peranti terasa responsif dan lancar. Walau bagaimanapun, memainkan permua pada peranti dengan kadar resolusi yang tinggi menjadikan kami mulai perasan akan sedikit isu lengah masa yang berlaku. Walau bagaimanapun ia tidaklah begitu ketara dan permua masih dapat dijalankan dengan baik. Paparan antara mukanya juga tampak kemas dan mudah difahami.

Peranti dilengkapi dengan saiz memori 8GB RAM dan saiz storan 256GB. Memori maya juga tersedia dengan ia boleh dikembangkan sehingga 8GB dengan pilihan 4GB, 6GB atau 8GB yang boleh ditetapkan mengikut keperluan. Sepanjang tempoh ujian, semua aplikasi dapat dijalankan dengan baik serta semua aplikasi yang dimahukan dapat dimuat turun dengan pantas tanpa sebarang masalah.

PENANDA ARAS

Berikut adalah skor daripada hasil ujian penanda aras yang dicatatkan oleh OPPO A3 Pro 5G menggunakan Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark. Perbandingan dilakukan dengan Infinix Note 40 Pro dan Redmi Note 13 5G kerana ketiga-tiganya berada pada tingkat harga yang sama.

Antutu 3D Benchmark

  • OPPO A3 Pro – 456,737
  • Infinix Note 40 Pro – 450,320
  • Redmi Note 13 5G – 414,290

Geekbench 6

  • OPPO A3 Pro – 787/1992
  • Infinix Note 40 Pro – 1120/3338
  • Redmi Note 13 5G – 776/2019

WildLife Extreme

  • OPPO A3 Pro – 386
  • Infinix Note 40 Pro – Tidak Boleh Diuji
  • Redmi Note 13 5G – Tidak Boleh Diuji

Hasil catatan skor dan juga perbandingan dengan peranti pesaing dilihat seimbang dengan catatan yang tidak terlalu jauh berbeza. Sepanjang tempoh penggunaan, kelancaran paparan dan aplikasi adalah baik tanpa masalah lengah masa yang ketara. Namun, memainkan permua kegemaran seperti Call Of Duty dengan tetapan kualiti paparan yang tinggi kami sedari wujud sedikit isu lengah masa berbanding jika permua dimainkan dalam tetapan sederhana. Isu pemanasan tidak berlaku dengan ketara, tubuh hanya terasa suam apabila memainkan permua secara berulang kali dalam jangka masa lama.

TELEFONI & GPS

Sokongan rangkaian 5G yang terbina adalah cukup baik dengan ia memberikan pengalaman penggunaan GPS yang berfungsi tanpa sebarang masalah. Sepanjang tempoh penggunaan, tiada masalah sambungan rangkaian dihadapi malah sambungan rangkaian internet 5G juga stabil dalam banyak keadaan.

KAMERA

Sistem kamera peranti dilengkapi dengan sistem dwi-kamera 50MP (utama) dan 2MP (potret) yang memberikan hasil gambar yang tidak dapat kami katakan cemerlang tetapi masih boleh diterima jika gambar diambil dalam ruangan atau keadaan sekeliling yang cukup pencahayaan. Tiada kamera ultra sudut lebar untuk kebolehan mengambil gambar dengan tangkapan yang lebih luas dan ciri zum yang tersedia juga hanya terhad kepada 10X zum sahaja.

Hasil gambar potret yang diambil menggunakan peranti ini boleh saya katakan kurang memuaskan dimana dalam beberapa keadaan ciri potretnya gagal untuk membezakan dengan kemas diantara subjek dan juga latar belakang. Manakala, hasil gambar dalam mod malam juga agak mengecewakan dimana gambar terlihat lembut, warna pudar dan keperincian gambar yang tidak terjaga. 

BATERI

Kapasiti baterinya 5100 mAh yang dapat bertahan sepanjang hari dengan sekali pengecasan untuk penggunaan harian biasa. Misalnya jika kami mulakan hari pada waktu pagi dengan peratusan bateri 100%, menjelang malam sebelum waktu tidur sekitar jam 12 baterinya masih berbaki sekitar 15%.

Sokongan pengecasan SUPERVVOOC 45W yang disediakan pula memberikan tempoh pengecasan yang tidaklah terlalu lama dan tidak juga terlalu singkat. Dalam ujian penggunaan, peratusan bateri dari 1% meningkat ke 60% dalam tempoh lebih kurang 40 minit.

AUDIO

Sistem audio pada OPPO A3 Pro ini hadir dengan speaker jenis stereo dengan penghasilan bunyi yang kuat dan jelas. Secara keseluruhannya, pengalaman mendengar muzik dan menonton filem adalah cukup baik. Audio pada peranti masih dapat didengar dengan jelas meski dalam suasa yang agak bising apabila laras suaranya dipertingkatkan. Menariknya, Oppo menyertakan lubang bicu audio pada peranti yang membolehkan kami menggunakannya bersama-sama dengan fon telinga berwayar.

PERANTI PESAING

OPPO A3 ProInfinix Note 40 ProRedmi Note 13 5G
6.67″ LCD, 1604 x 720 pixel, 120Hz6.78″ AMOLED, 1080 x 2436,FHD+, 120Hz6.67” AMOLED, 2400 x 1080, 120Hz, 1000 nits
Mediatek Dimensity 6300 (6nm)
2×2.4 GHz Cortex-A76
6×2.0 Ghz Cortex-A55
Dimensity 7020 (6nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 6080 (6nm)
2×2.4 GHz Cortex-A76
6×2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G57 MC2IMG BXM-8-256/Hyper EngineMali-G57 MC2
8GB LPDDR4X8GB LPDDR4X6/8 GB LPDDR4X
256GB  UFS 2.2256GB UFS 2.2128/256 GB ROM
Kamera Utama
50 MP, f/1.8 (Utama)
2 MP, f/2.4 (Potret) 
Kamera Utama
108MP, f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
2MP, f/2.4 
2MP, f/2.4
Kamera Utama
108MP, f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2, (Ultra Sudut lebar)
2MP, f/2.4, (Makro)
Kamera Hadapan
8MP f/2.0
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
IP54IP53IP54
Bicu AudioTiada bicu audioBicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5100 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 33W)
RM1,099 (8/256GB)RM1,098 (8/256 GB)RM1099 (8GB/256GB)

APA DALAM KOTAK?

  • 1x OPPO A3 Pro 
  • 1x Pengecas 45W
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Kerangka silikon
  • 1x Pin SIM
  • 1x Set buku panduan

KESIMPULAN

Kesimpulannya, setelah seminggu menggunakan OPPO A3 Pro ini sebagai peranti utama, boleh kami katakan bahawa peranti ini adalah sebuah telefon pintar dengan prestasi yang berbaloi dengan harga. Bagi sebuah telefon pintar dengan kebolehan akses 5G, kapasiti bateri 5100 mAh dan prestasi memuaskan yang dimiliki, menjadikannya masih saja memiliki kelebihan yang tersendiri dalam pasaran telefon pintar 5G pada harga bajet.

Namun, bagi mereka yang mahukan telefon pintar dengan kemampuan kamera bersama prestasi yang lebih berkualiti maka mungkin ada pertimbangan lain harus dilakukan. OPPO A3 Pro 5G kini dijual di Malaysia pada harga RM1099 (8/256GB) sebuah. 

PRO

  • Kapasiti bateri besar 5100 mAh.
  • Ada Bicu audio 3.5mm.
  • Speaker stereo yang jelas dan lantang.

KONTRA

  • Hasil gambar mod malam kurang memuaskan.
  • Banyak aplikasi gendut yang dimuatkan.
  • Tahap kecerahan puncak hanya 1000 nits.
Komen