Carian
Realme Dan Sony Bekerjasama Membangunkan Sensor Baharu LYT-701
July 4, 2024 Amy Maizuraa

Kecerdasan buatan (AI) dalam fotografi mudah alih tidak terhad terhadap pemprosesan imej untuk meningkatkan kualiti semata. Malahan membantu dalam mengoptimumkan imej lantas memberikan pengalaman lebih menarik secara visual. Pada peringkat ini kita menyaksikan perkembangan itu telah mengubah banyak aspek dalam kehidupan yang termasuk menyampaikan sesebuah karya dengan kreatif.

Dalam usaha menyampaikan nilai baharu kepada pengguna, Realme hari ini memperkenalkan inovasi terkini yang memungkinkan mampu merevolusi fotografi mudah alih menjadi lebih baik. Menerusi acara Realme AI Imaging Media Preview yang berlangsung di Bangkok itu menyaksikan perkongsian Realme tertumpu kepada bagaimana AI mampu mengubah ‘permainan’ dalam fotografi mudah alih seterusnya membuka ruang yang dapat diakses oleh semua orang dengan mudah.

Acara yang bertemakan “The Future is Here: AI is Revolutionizing Mobile Imaging” itu turut diserikan dengan ucaptama oleh Pengurus Besar TÜV Rheinland Greater China Electrical, Sven-Olaf Steinke yang berkongsi pandangan tentang inovasi fotografi mudah alih. Diikuti tayangan video oleh Naib Presiden Sony Semiconductor Solutions (Shanghai) Limited, Toshimitsu Kurosaka yang mengumumkan kerjasama baharu antara Sony dan Realme untuk pembangunan sensor LYT-701 baharu yang kelak digunakan pada siri Realme 13 Pro 5G akan datang.

Realme mengatakan sensor itu akan membawa era baharu dalam fotografi mudah alih sekaligus memenuhi keperluan pengimejan untuk semua jenis senario penggambaran. Keadaan itu bertambah baiknya lagi apabila ia turut digandingkan dengan teknologi pengimejan tersendiri Realme yang dikenali sebagai HYPERIMAGE+. Melaluinya Realme menjanjikan pengalaman fotografi yang hebat bersama prestasi cemerlang meskipun dalam pencahayaan rendah. Selain dibantu oleh Algoritma AI HyperRAW Realme yang mampu memproses data imej dalam domain RAW seterusnya meningkatkan kejelasan gambar dan julat dinamik untuk menangkap cahaya serta bayang yang tulen.

Terdapat juga ciri berasaskan AI disediakan yang termasuk AI Pure Bokeh, AI Natural Skin Tone dan AI Ultra Clarity untuk penghasilan gambar potret lebih menarik. Dengan AI Pure Bokeh, kamera peranti dapat mengenal pasti elemen latar belakang dengan tepat dalam pelbagai adegan kemudian mencipta potret yang sinematik. AI Natural Skrin Tone pula meningkatkan tampilan semula jadi pelbagai tona kulit menggunakan kecerdasan buatan pada peranti. Sementara itu, ciri suntingan imej berasaskan awanan AI Ultra Clarity pula boleh meningkatkan kualiti imej menjadi lebih tajam dan jelas.

Turut melengkapi peranti berkenaan kamera telefoto periskop 50MP dengan sensor Sony LYT-600 yang menyokong zum optikal sehingga 3X. Dalam masa sama mempunyai mempunyai High Resolution Camera Certification daripada TÜV Rheinland untuk kejelasan imej luar biasa dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Siri tersebut telah disahkan tiba sekitar bulan ini namun tidak dinyatakan secara terperinci tentang tarikhnya.

Komen