Carian
ASUS Bekerjasama Dengan NordVPN Untuk Penghala Dengan VPN Terbina
July 5, 2024 Fahim Zahar

ASUS baru-baru ini telah melancarkan dua penghala dengan VPN terbina iaitu RT-AX57 Go untuk penggunaan biasa dan ROG Rapture GT-AX11000 Pro khusus untuk pengguna gaming. Menariknya, perkhidmatan rangkaian peribadi maya digunakan adalah oleh NordVPN.

ASUS RT-AX57 Go

Seperti namanya, Go membawa makna ia adalah peranti mudah alih. RT-AX57 Go adalah modem 4G/5G yang menyokong tri-sambungan sama ada kad sim, hotspot WiFi, atau juga sebagai penghala di rumah. ASUS menjamin sambungan WiFi 6 pada produk ini boleh mencapai sehingga 3000 Mbps dan menyokong sambungan kepada 70 peranti serentak.

Modem ini turut mempunyai perlindungan sekuriti Trend Micro iaitu AiProtection. Ciri AiMesh turut disokong, butang fizikal pada peranti boleh diubahsuai, peranti boleh digunakan untuk perniagaan kecil dengan laman khas untuk pelanggan. ASUS RT-AX57 Go turut boleh dikawal dengan aplikasi ASUS Router. Kemudian jika pengguna tidak berminat dengan NordVPN, ASUS turut membenarkan sambungan ke perkhidmatan lain seperti Surfshark.

ROG Rapture GT-AX11000 Pro

Penghala ini pula memfokuskan kepada sambungan paling stabil dan konsisten khusus untuk permainan video dan sambungan ke banyak peranti serentak. Ia menyokong kelajuan sehingga 11000 Mbps dengan WiFi 6, ASUS RangeBoost Plus disokong untuk sambungan jarak jauh yang baik dan ada port fleksibel seperti kedua-dua 2.5G dan 10G boleh digunakan sebagai WAN atau LAN.

Rapture GT-AX11000 Pro turut dijana dengan cip empat-teras khas dan ASUS turut mengintegrasikan sistem pintar yang boleh memastikan setiap kali pengguna aktif bermain, sambungan Internet akan terus dioptimasikan untuk lebih pantas dan stabil. Ciri lain seperti AiMesh, AiProtection dan VPN turut dikekalkan. Seperti RT-AX57 Go, GT-AX11000 Pro ini turut boleh menggunakan perkhidmatan VPN lain selain NordVPN.

NordVPN

NordVPN turut berhasrat untuk mengembangkan penawaran sambungan peribadi maya mereka yang selamat dan menjamin privasi dan sambungan Internet pengguna terjaga, mereka ingin mengembangkan sokongan ini ke lebih banyak penghala dan modem ASUS lain. Pengguna turut boleh menetapkan NordVPN di laman khas melalui modem dan penghala ASUS dengan syarat sudah mempunyai langgan yang aktif.

Komen