Samsung baru-baru ini telah memperkenalkan storan SSD untuk pusat data terbaru mereka, iaitu Samsung BM1743, sebuah storan SSD yang tampil dengan kapasiti storan setinggi 61.44TB.
SSD Samsung BM1743 hadir dengan sokongan untuk sambungan PCIe 4.0 dan PCIe 5.0 tanpa masalah, dan tampil dengan kelajuan pembacaan data sepantas 7200MB/s dan kadar penulisan data 2000MB/s untuk kegunaan penulisan data ke dalam mesin pelayan di pusat data. SSD ini juga hadir dengan jumlah pembacaan data 4K rawak sebanyak 1.6 juta kali dan penulisan data 4K rawak sebanyak 110 ribu kali, yang cukup baik untuk tujuan penyimpanan data dan akses kepada data yang pantas.

Samsung menggunakan cip storan V-NAND QLC generasi ketujuh mereka untuk SSD ini untuk kapasiti yang lebih besar, dan walaupun ia dilihat bahawa kadar pembacaan dan penulisan data storan ini dilihat biasa sahaja, untuk tujuan penyimpanan data jangka masa lama dan juga akses yang pantas, SSD ini mempunyai kegunaannya sendiri.
Dalam pada itu, Samsung juga mengatakan bahawa mereka mempunyai pelan untuk memperkenalkan penawaran storan sebesar 122.88TB tidak lama lagi, tetapi buat masa ini, penawaran 61TB ini akan diperlihatkan terlebih dahulu kepada para pelanggan pusat data Samsung.