Carian
CMF Phone 1 Kini Rasmi Dengan Panel Belakang Boleh Tukar – Berharga RM1099
July 8, 2024 Fahim Zahar

CMF by Nothing adalah sub-jenama Nothing yang pantas maju dan dikenali ramai. Setiap produk ditawarkan pada harga lebih murah berbanding Nothing dan secara tidak langsung memberi orang ramai mudah mencuba teknologi baharu. Hari ini mereka melancarkan telefon pintar pertama mereka CMF Phone 1.

Keunikan pada peranti ini adalah rekaan panel belakang yang modular kerana boleh ditukar dengan panel berwarna yang lain. Menurut Nothing, panel ini boleh ditukar jika ia tercalar atau sekadar ingin menukar citarasa. Empat warna utama ditawarkan iaitu hitam dan hijau cair dengan kemasan kusam, sementara warna jingga dan biru (di India sahaja) dengan kemasan kulit vegan. Panel belakang ini turut menyokong pelbagai aksesori seperti tali lanyard, tongkat atau pemegang kad.

Skrin peranti sebesar 6.67-inci Super AMOLED beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia menyokong paparan HDR10+ dan kecerahan 2000 nits. Peranti dijana dengan cip Dimensity 7300 yang dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB di Malaysia. Di negara luar terdapat pilihan memori 6/128 GB yang lebih murah. Kamera pula adalah 50MP TrueLens Engine tanpa OIS dan sensor kedalaman untuk potret sementara kamera swafoto hadapan pula 16MP. Peranti ini turut menyokong Ultra XDR seperti Pixel, Samsung dan Oppo.

CMF Phone 1 turut melepasi piawaian perlindungan IP52 untuk percikan air ringan. Bateri adalah sebesar 5000mAh dengan pengecasan 33W. Ia turut menyokong pengecasan berbalik 5W secara berwayar, dan turut mempunyai sistem imbasan cap jari di bawah skrin. Speaker peranti adalah sekadar mono sahaja.

Peranti menjalankan Nothing OS 2.6 baharu berasaskan Android 14 yang telah diubahsuai untuk menjadi lebih ringkas kerana tiada sistem lampu Glyph. Ciri AI pada kamera seperti bantuan mengambil gambar dan menjana gambar latar turut disediakan pada peranti ini.

Di Malaysia, CMF Phone 1 dijual pada harga RM1,099. Kali ini tiada juala eksklusif di Crossover, sebaliknya pada 15 Julai ia akan mula dijual di kedai rasmi CMF di Shopee dan Lazada, Yes, DirectD, TMT, Urban Republic, Vivid Concepts, Tac Mobile dan SS Solution.

Kepada pembeli terawal, mereka akan menerima satu panel belakang CMF Phone 1 yang bernilai RM99 secara percuma (warna lain dijual berasingan pada harga sama). Jika anda ingin dapatkan aksesori rasmi seperti tongkat, pemegang kad dan tali lanyard setiap satunya dijual pada harga RM59.

Komen