Hari ini, CMF by Nothing turut melancarkan beberapa produk lain selain CMF Phone 1. Ia adalah jam dan TWS generasi kedua mereka yang kini adalah lebih unik. CMF Watch Pro 2 yang turut mempunyai ciri kustomasi unik, sementara CMF Buds Pro 2 pula ada tombol berputar yang ada fungsi tersendiri.
CMF Watch Pro 2
Jam ini masih lagi sejenis peranti boleh pakai asas tidak seperti jam Huawei, Apple Watch atau jam-jam Wear OS. Jam ini direka untuk menjadi lebih premium seperti menggunakan aloi aluminium, menawarkan bezel boleh tukar agar setiap jam diperibadikan mengikut pengguna, serta mempunyai pilihan empat tali jam yang sesuai untuk pelbagai aktiviti. Skrin jam adalah AMOLED bersaiz 1.32-inci beresolusi 466 x 466 dengan kecerahan 600 nits.

Pelbagai widget disertakan serta turut terdapat lebih 100 muka jam boleh dipilih atau pengguna sendiri boleh merekabentuk muka jam. CMF mengikut strategi Amazfit seperti menyertakan animasi 3D untuk pelbagai senaman dan sukan. Kemudian turut menggunakan algoritma khas untuk penjejakan dan pemantauan data kesihatan.

120 mod sukan diberikan dan sistem GPS jitu turut diintegrasi pada jam ini. Menjadikan jam ini lebih menarik adalah tombol berputar yang bukan sekadar hiasan tetapi boleh digunakan untuk mengawal jam. Kaedah kawalan lain adalah dengan gestur seakan Apple Watch.

Jam turut menyokong menjawab panggilan telefon dengan sistem AI yang memastikan suara jelas dan lantang. Skrin pula menyokong paparan Always-on Display, bateri adalah 305mAh yang bertahan sehingga 11 hari, jam menyokong perlindungan IP68, dan memerlukan aplikasi CMF Watch.
CMF Buds Pro 2
Tahun lepas Buds Pro dilancarkan sebagai TWS mampu milik dengan rekaan menarik. Kemudian Buds biasa diperkenalkan pada bulan Mac lepas dengan tombol berputar untuk tali lanyard. Kali ini Buds Pro 2 mengambil rekaan Buds untuk menyertakan tombol berputar Smart Dial yang boleh mengawal audio pula.

Ya, pada pod pengecas Buds Pro 2 terdapat tombol berputar untuk kawal aras suara atau tekan untuk pembantu maya dan banyak lagi. CMF menggunakan dwi-pemandu audio akustik bersaiz 11mm bersama-sama dengan tweeter 6mm yang turut disokong dengan magnet N52 untuk audio jitu serta kuat yang terkawal. Sokongan LDAC, audio Hi-Res dan algoritma Spatial Audio Effect untuk pengalaman pendengaran imersif turut diberikan.

CMF by Nothing turut bekerjasama dengan Dirac audio untuk Dirac Opteo serta menggunakan Ultra Bass Technology 2.0 untuk dentuman yang lebih baik. Buds Pro 2 juga menyokong pembatalan hingar hibrid aktif, 6 mikrofon HD dengan Clear Voice Technology 2.0, Wind Noise Reduction 2.0 dan untuk bateri pula setiap fon telinga adalah 60mAh sementara pada pod pengecasan adalah 460mAh. Perlindungan IP55 turut tersedia pada TWS ini.

Seperti produk Nothing Audio yang lain, CMF Buds Pro 2 turut memerlukan aplikasi Nothing X. Aplikasi akan membenarkan pengguna menikmati akses pantas kepada ChatGPT serta mengawal melakukan tetapan untuk tombol berputar.
Harga Jualan
CMF Watch Pro 2 dijual pada harga RM339, sementara set tali jam dan bezel boleh tukar dijual pada harga RM99. CMF Buds Pro 2 pula dijual pada harga RM299 dengan pilihan warna Lima warna ditawarkan iaitu Dark Grey, Light Grey, Orange atau Blue. Seperti CMF Phone 1, jualan akan bermula pada 15 Julai di Shopee dan Lazada rasmi CMF, Yes, DirectD, TMT, Urban Republic, Vivid Concepts, Tac Mobile dan juga SS Solution.