Carian
Intel Menghentikan Pengeluaran Siri Cip Pemprosesan Generasi Ke-10 Comet Lake
July 9, 2024 Nazrin

Dengan sejumlah pelancaran baru yang dilakukan oleh Intel dengan pelancaran beberapa cip pemprosesan yang sudah berlaku dan akan berlaku dalam masa beberapa bulan ini, Intel juga telah membuat pengumuman mengenai pemberhentian pengeluaran cip pemprosesan sedia ada mereka.

Siri cip pemprosesan Intel generasi ke-10, Comet Lake yang telah ditutup secara berperingkat sejak penghujung tahun lepas bermula dengan siri cip pemprosesan Comet Lake-K yang boleh dilewahjam. Kini, pengeluaran cip pemprosesan keseluruhan siri cip Intel Comet Lake telah dihentikan menurut notis yang dikeluarkan oleh Intel sendiri.

Ini termasuklah siri cip pemprosesan Intel Core i3 ke Intel Core i7 generasi ke-10 sehinggalah Intel Pentium Gold G6000, siri Intel Celeron G5000 dan juga Intel Xeon W-1250.

Dalam pada itu, bersama-sama dengan ini, Intel turut mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan mengilangkan cip pemprosesan intel Core i9-12900KS dan juga Intel Core i9-12900KS Special Edition yang boleh dilewahjam ke 6.0GHz. Ia dilaporkan bahawa permintaan untuk cip ini akan ditamatkan pada Januari 2025 dan penjualannya akan dihentikan sepenuhnya menjelang Julai 2025 kelak.

Dengan penghentian pengeluaran siri cip pemprosesan Comet Lake ini, ia bermakna bahawa Intel tidak lagi akan mengeluarkan cip pemprosesan yang dibina menggunakan proses 14nm++ mereka setelah menggunakannya untuk sekian lamanya.

Komen