Carian
Semua Kereta Baharu Di EU Wajib Dilengkapi Sistem Menghadkan Kelajuan Bermula Minggu Depan
July 5, 2024 Effi Saharudin

Pada tahun 2022, Kesatuan Eropah mengeluarkan perundangan baharu yang memerlukan semua kereta yang dijual dilengkapi teknologi had kelajuan pintar, atau ISA (Intelligent Speed Assistance). ISA akan menghadkan kelajuan kenderaan berdasarkan lokasi dan kelajuan maksimum yang dibenarkan di atas jalan raya. Bermula 7 Julai, semua kereta baharu di EU wajib dilengkapi sistem ISA.

Sekiranya pemandu melebihi halaju, tiga jenis amaran akan diberikan oleh kereta supaya mereka mengurangkan kelajuan kenderaan. Amaran pertama ialah dengan pedal kuasa kenderaan menolak kaki pemandu dan ia bergetar. Kemudian amaran dalam bentuk audio dan ikon pada papan pemuka diberikan. Kenderaan tidak akan dihentikan kerana pemandu yang boleh tidak mengendahkan ketiga-tiga amaran yang diberikan.

Pedal minyak boleh ditekan dengan lebih kuat untuk kembali memandu lebih laju. Amaran audio dan ikon pula akan berhenti selepas diberikan beberapa kali. Sistem ISA kemudiannya akan dimatikan dan hanya akan kembali berfungsi apabila kenderaan dihidupkan semula.

Sistem ISA tidak dihasilkan untuk mengawal gaya pemanduan penduduk negara-negara EU. Ia sekadar sebuah sistem amaran bagi tujuan keselamatan dan mengelakkan pemandu melanggar undang-undang. Kadang kala pemandu tidak berniat untuk melanggar had halaju dan kemudiannya disaman. Dengan sistem ini ISA boleh memberikan peringatan sebelum disaman.

Walaupun hanya akan dikuatkuasakan minggu depan, kereta yang dijual di pasaran EU sudahpun dilengkapi ISA sejak 6 Julai 2022. Antara jenama yang telah memasang sistem ISA pada kenderaan keluaran mereka ialah Citroen, Ford, Honda, Jaguar, Peugeot, Renault dan Volvo.

Komen