Carian
Anker Memperkenalkan Aksesori Pengecasan MagGo Untuk Peranti Apple Di Pasaran Tempatan
July 6, 2024 Nazrin

Anker ialah sebuah jenama pembuat aksesori pengecasan yang tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Hari ini, sewaktu acara SEGI Game On Expo, Anker telah memperkenalkan siri aksesori pengecasan terbaru mereka, iaitu Anker MagGo khusus untuk peranti-peranti pintar Apple iPhone dengan sokongan pengecasan nirwayar MagSafe.

Pertama ialah Anker MagGo Power Bank yang tampil dengan kapasiti pengecasan 10,000mAH dan kadar pengecasan nirwayar 15W menggunakan teknologi pengecasan Qi2. Untuk pengecasan berwayar, Anker MagGo Power Bank ini juga mempunyai palam pengecasan 27W yang membolehkan anda mengecas peranti-peranti pintar yang tidak menyokong pengecasan nirwayar Qi2.

Untuk anda yang suka aksesori berwarna-warni, Anker MagGo Power Bank ini juga hadir dalam pilihan warna putih, hitam, biru dan merah jambu. Ia juga hadir dengan tanda harga RM409, tetapi bersempena dengan pelancaran siri produk ini, anda boleh membelinya pada harga RM329 pada 6 Julai 2024 di platform jual-beli atas talian Anker Malaysia di Lazada dan juga Shopee.

Dalam pada itu, Anker Malaysia juga membawa masuk dua model Anker MagGo Wireless Charging Station, satu yang hadir dengan rekaan padat, dan satu lagi yang hadir dengan tapak untuk membolehkan anda menggunakan peranti anda sambil ia semua dicas.

Anker MagGo Wireless Charging Station ini hadir dengan kebolehan untuk mengecas peranti Apple iPhone, Apple AirPods dan Apple Watch anda secara nirwayar dan juga serentak, dengan kadar pengecasan 15W untuk Apple iPhone, manakala 5W untuk Apple Watch dan Apple AirPods.

Model padat boleh dilekapkan kepada peranti iPhone anda melalui ciri MagSafe, dan boleh digunakan sebagai pengecas walaupun didalam kapal terbang apabila anda menyambungkan kabel pengecasan pada pengecas USB dalam penerbangan dan boleh digunakan sebagai tapak untuk peranti juga.

Untuk model Charging Stand pula, ia hadir dengan rekaan yang menarik sekali, dan boleh diletakkan di meja pejabat ataupun meja kecil tepi katil dan akan mengecas ketiga-tiga peranti iPhone, AirPods dan Apple Watch anda secara serentak.

Anker Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua aksesori MagGo Charging Station ini akan hadir dengan tanda harga RM699, tetapi bersempena dengan pelancaran siri peranti ini, ia akan ditawarkan pada harga RM559 pada 6 Julai 2024 di kedai atas talian Anker Malaysia di Lazada dan juga Shopee.

Komen