Carian
Panduan Pengecasan EV – Pilih Bayar Mengikut kWh Atau Minit?
July 6, 2024 Ikhwan Nazri

Tidak dinafikan banyak pemilik EV mengecas kenderaan di rumah yang mungkin lebih mudah kerana tidak perlu mengira apa-apa, dan hanya membayar bil elektrik setiap bulan. Dan mungkin kerana penggunaan tenaga sekadar untuk pergi balik ke pejabat, tanpa perlu pergi dengan lebih jauh. Namun bermula bulan ini, Gentari dan JomCharge telah mula menggunakan kiraan pengecasan berasaskan kWh dan ini sedikit berbeza dengan penggunaan pengecasan mengikut minit. 

Menerusi artikel ini, kami akan sedikit sebanyak berkongsi panduan untuk semua berkenaan beza bayaran pengecasan EV, dan apakah kelebihan dan kekurangan pengecasan berdasarkan cara pengiraan, sama ada mengikut penggunaan kWh atau mengikut minit. Secara kasarnya, pemilik EV perlu mengetahui jenis pengecasan, kelajuan pengecas dan juga kelajuan pengecasan yang boleh diterima EV mereka kerana kesemua ini mempunyai perbezaan yang boleh dikatakan agak rumit untuk difahami berbanding pengisian minyak petrol.

Pengecasan mengikut kWh – Sama seperti mengisi minyak

Pengecasan mengikut kapasiti kWh boleh diandaikan bersamaan dengan mengisi minyak. Contohnya jika anda perlu mengisi penuh petrol sebanyak 20 liter dengan harga 1 liter bersamaan RM 1.90, maka anda perlu membayar RM 38. Maka sama dengan kereta EV, iaitu jika pengecas tersebut mengenakan bayaran RM 1.10 untuk setiap kWh, untuk EV dengan kapasiti bateri 20 kWh, ia bersamaan dengan RM 22.

Apabila pengecasan dikira berdasarkan kWh, ia tidak akan mengira tempoh masa yang akan diambil. Seperti contoh, sekiranya pengguna EV yang mempunyai kapasiti bateri 60kWh, memerlukan masa 1 jam untuk mengecas dari 0-100% dengan bayaran dikenakan adalah RM 1.05 setiap kWh. maka jumlah bayaran hanyalah RM 63 sahaja. Sekiranya pengguna menamatkan pengecasan dan hanya mengecas sebanyak 30 kWh, maka bayaran dikenakan adalah RM 31.50. Sekiranya dalam tempoh 15 minit pengguna telah mengecas 17kW, maka bayaran yang dikenakan adalah RM 17.85.

Pengecasan mengikut minit – Sama seperti menggunakan ruang parkir

Pembayaran berdasarkan minit adalah popular digunakan dari awal EV bertapak di Malaysia kerana kuasa yang diberikan secara pantas, hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mengisi tenaga. Dari segi kiraan, ia adalah tertakluk kepada penyedia pengecasan, dan masing-masing mempunyai nilai tersendiri. 

Mengambil contoh pengecasan AC yang biasanya semurah RM 0.10 untuk seminit, pengguna EV yang mengecas selama sejam akan perlu membayar RM6. Tidak kira berapa banyak tenaga yang dicas, bayaran tersebut mengikut tempoh masa yang digunakan dan dilihat hampir sama dengan bentuk bayaran mengikut parkir. Terdapat juga lokasi yang mengecas mengikut pecahan masa, seperti Gentari Sunway University AC 7kW yang mengenakan caj RM 1 untuk setiap 15 minit atau ChargEV Mines yang mengenakan bayaran RM 1.50 untuk setiap 20 minit.

Menariknya, TNB Electron menerusi aplikasi Go To-U di beberapa lokasi terpilih mengenakan bayaran secara minit, dan mempunyai beza mengikut waktu penggunaan. Didalam gambar diatas, untuk TNB Electron Kawasan Rehat Paka, kadar pengecasan adalah RM 1.75 seminit untuk waktu 10 malam sehingga 8 pagi, dan RM 2.20 seminit untuk 8 pagi sehingga 10 malam.

Jika pengguna EV memilih pengecasan berasaskan minit, pengguna akan meraih penjimatan sekiranya pengecas yang disediakan adalah laju, dan EV tersebut turut boleh menerima kapasiti tenaga yang tinggi dalam masa yang singkat. Justeru bagi kereta dengan 22kW, dan pengecas AC tersedia 22kW, dapat mengisi hampir sepertiga kapasiti dalam tempoh sejam.

Namun sekiranya EV tersebut tidak mempunyai pengecasan pantas, dan pengecas yang disediakan juga tidak dapat memberikan kelajuan pengecasan yang pantas, setiap masa yang diperlukan untuk mengecas akan menambah bil pengecasan. Seperti contoh pengecasan sejam dengan bayaran RM 0.10 seminit untuk BMW CE04 dengan 1-fasa (1-phase) hanya dapat memenuhkan sekitar 25%, berbeza dengan BMW CE 04 yang mempunyai 3-fasa (3-phase) dapat mengecas sehingga hampir penuh sekitar 90%. Jadi untuk RM 6 yang perlu dibayar, terdapat perbezaan kapasiti pengecasan mengikit keupayaan unit pengecas EV itu sendiri. 

Yang mana lebih baik? Kira kWh atau minit ?

Secara kasarnya, pengiraan secara kWh adalah lebih senang dicongak, dan lebih adil dan saksama kerana ia sama seperti pengisian petrol. Tidak mengira keupayaan pengecas pada EV, dan kelajuan pengecas yang disediakan, setiap kapasiti bateri walau berbeza EV akan mempunyai harga yang sama. Seperti contoh Smart #1 dan Mercedes EQB 350 yang mempunyai kapasiti bateri yang hampir sama (66 kWh / 66.5 kWh) boleh dikatakan mempunyai caj pengecasan yang sama jika mengikut kWh, iaitu RM 69.30.

Namun sekiranya Smart #1 dan Mercedes EQB E50 ini pergi ke pengecas yang mengikut pembayaran secara minit, akan terdapat perbezaan tempoh pengecasan dan juga bayaran yang ketara. Ini kerana Smart #1 menyokong pengecasan AC 22kW DC 150 kW tetapi Mercedes EQB 350 hanya terhad kepada AC 11kW & DC 100kW jadi untuk tempoh satu yang sama bayarannya, jumlah tenaga yang dicas adalah berbeza. Seperti gambar diatas, walaupun pengecasan tersebut tidak memerlukan sebarang bayaran kerana langganan tahunan ChargEV, jumlah tenaga yang dicaj dengan beza 9 minit adalah sangat berbeza. Smart #1 Premium yang dicaj selama 43 minit dapat mengecaj 13.96 kW / sekitar 21% ( ~ 92km jarak perjalanan) berbanding Mercedes EQB 350 yang dicaj selama 52 minit dapat mengecaj 9.64 kW/ sekitar 14% (61.6km jarak perjalanan).

Jadi untuk tempat yang mengira pengecasan mengikut minit, adalah lebih baik untuk menetapkan masa yang tidak terlalu lama. Walaupun kereta anda mungkin menyokong pengecasan yang pantas, kita tidak akan tahu sekiranya pengecas tersebut boleh memberikan kelajuan maksimum. Video diatas merupakan satu situasi sewaktu saya mengelilingi Semenanjung dan singgah mengecas di Kuantan. Memandangkan ChargEV Starbucks Indera Mahkota gagal berfungsi, saya menuju ke Gentari Pesat CTM, Kuantan, Pahang dimana pembayarannya adalah RM 1.40 seminit dengan keupayaan pengecas sehingga 120 kW, namun saya tidak pernah melihat pengecas tersebut mengecas melebihi 60kW, menjadikannya kos pengecasan lebih mahal. 

Dan sebagai perbandingan, saya juga mengecas di Gentari Hentian Sebelah Sg Buloh untuk tempoh yang lebih kurang sama dengan Gentari Pesat CTM, Kuantan. Gambar diatas menunjukkan kiraan per minit dengan tempoh sekitar 16 minit, dengan bayaran dan jumlah tenaga yang berbeza iaitu Sg Buloh mengenakan bayaran RM 2.20 seminit dapat mengecaj 22.8 kWh (~100km jarak perjalanan) berjumlah RM 37.40 sebelum diskaun, berbanding Pesat CTM yang mengenakan bayaran RM 1.40 seminit dapat mengecaj hanya 17.06 kWh (~75km jarak perjalanan) berjumlah RM 23.80. Walaupun pengecasan di Kuantan murah bayarannya, namun tidak banyak kuasa yang diperoleh berbanding Sg Buloh.

Seperkara lagi berkenaan minit, untuk pengecasan EV, terdapatnya istilah Lengkung Pengecasan ‘Charging Curve’. Dalam istilah ini, kebanyakan EV yang dipasarkan turut menyatakan kelajuan pengecasan DC dari 20-80% hanya sekitar 30 minit. Terdapat EV seperti Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6 yang boleh mengecas dari 10%-80% sepantas 18 minit sekiranya menggunakan pengecas 350kW. Akan tetapi untuk EV mengecas dari 80%-100% akan mengambil masa yang lebih lama. Jadi kebanyakan pengguna akan mengecas hanya sehingga 80%, dan akan pergi meneruskan perjalanan. Dalam graf diatas, anda dapat lihat kelajuan pengecasan mencapai lebih 100 kW sekitar minit ke-10, kemudian turun secara berperingkat bermula minit ke 13.

Dan gambar diatas menunjukkan beza harga semasa Gentari Hentian Sebelah Sg Buloh menggunakan kiraan mengikut minit, dan juga kiraan terkini Gentari yang mengikut kWh. Saya telah menggunakan pengecasnya yang berharga RM 2.20 per minit, dan kini ia hanya mengenakan caj sebanyak RM 1.50 per kWh. Jika dahulu saya mungkin perlu membayar RM 37.40, dengan caj per kWh saya hanya perlu membayar RM 34.20 untuk kuasa sebanyak 22.8 kW.

Bergantung kepada situasi, pada pengalaman saya sekiranya pergi ke pengecas berasaskan minit, pengguna perlu memastikan pengecas tersebut dapat memberikan tahap pengecasan maksimum namun memandangkan terdapat pelbagai pembolehubah yang boleh memberikan kesan, seperti keadaan bateri sekiranya terlalu panas yang boleh menghadkan kelajuan pengecas, atau kita sendiri tidak pasti adakah pengecas tersebut boleh diharap, ada baiknya memilih pengecasan berasaskan kiraan kWh. Dalam hal ini, penyedia pengecas yang menggunakan pengecasan Kempower harus dipuji kerana pengecas tersebut turut memberikan maklumat penuh mengenai status pengecasan seperti pengecasan dihadkan kerana sedang tenaga dikongsi antara kenderaan, atau had grid tenaga.

Tidak hairanlah terdapat pemilik EV yang berkata sejak JomCharge dan Gentari menukar pengiraan pengecasan dari minit kepada kWh untuk kebanyakan pengecas, mungkin sebelum ini banyaran pengecasan untuk tempoh sejam RM 6 dapat mengecas 22kWh, menjadi RM 22 kerana ia telah ditukar kepada pengiraan berasaskan kWh. Saya sendiri yang menggunakan BMW CE 04 (1-fasa) lebih gembira dengan kiraan sebegini kerana lebih berasaskan penggunaan tenaga walaupun terpaksa mengecas lebih lama. Jadi apabila ChargeSini menukar cara pengiraan kepada kWh, saya telah mula mengecas motorsikal saya di beberapa lokasi terpilih.


Diharap dengan panduan ini sedikit sebanyak memberikan pencerahan mengenai beza pengiraan pengecasan berasaskan penggunaan kWh dan penggunaan minit. Dan jika dikira dari faktor masa, ada baiknya apabila memilih EV, sekiranya perbelanjaan bukan satu isu, maka pilihlah EV yang mempunyai spesifikasi pengecasan AC & DC yang tinggi. 

Komen