Carian
Ling Long Memperkenalkan Komputer Dalam Papan Kekunci Boleh-Lipat – Dikuasakan CPU AMD
July 9, 2024 Nazrin

Rekaan komputer padat bukanlah sesuatu yang baru, dimana ia boleh dilihat bahawa sebuah komputer boleh direka dalam rangka bersaiz sebuah kotak mancis. Terkini, sebuah syarikat teknologi dari China, Ling Long telah memperkenalkan sebuah komputer didalam papan kekunci boleh lipat.

Komputer prototaip ini, yang tidak mempunyai nama setakat ini tampil dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7 8840U, dengan pilihan memori sebanyak 16GB ataupun 32GB dengan storan dalaman sebesar 512GB ataupun 1TB.

Rekaan papan kekunci ini dilihat memiripi sebuah papan kekunci bersaiz 60%, dan hadir dengan rekaan boleh-lipat, dan menurut Ling Long, ia cukup padat untuk dimuatkan didalam poket belakang seluar anda.

Dari segi palam, ia hadir dengan palam USB 4.0 Type-C untuk sokongan pengecasan 100W, satu palam USB 3.2 Type-C dan satu palam USB 3.0 Type-A. Secara teknikalnya, anda boleh menyambungkan komputer papan kekunci ini kepada sebuah paparan skrin menggunakan kabel USB-DisplayPort, tetapi pihak Ling Long mengatakan cara terbaik untuk menggunakan komputer ini ialah dengan menggunakan kaca mata AR ataupun VR pilihan anda.

Komputer ini juga dimuatkan dengan bateri 60Wh yang mana Ling Long mengatakan bahawa ia boleh bertahan selama 10 jam dengan penggunaan biasa seperti melayar laman web dan melakukan tugasan-tugasan pejabat. Jika anda mahu menggunakan komputer ini untuk menonton video ataupun filem, jangka hayat bateri tersebut dilihat sekitar 6 jam, dan lebih rendah jika anda memainkan permainan komputer dengannya.

Ia juga tampil dengan sokongan untuk rangkaian nirwayar WiFi 6 dan Bluetooth untuk sambungan peranti nirwayar yang mudah. Setakat ini, ia tidak diketahui lagi bilakah mereka akan menjual komputer ini secara besar-besaran. Buat masa ini, komputer papan kekunci ini hanya hadir melalui jualan kecil-kecilan sebanyak 200 unit, bergantung kepada kapasiti memori dan storan.

Komen