Carian
Meta AI Pada WhatsApp Kelak Boleh Bantu Pengguna Sunting Gambar
July 9, 2024 Fahim Zahar

Sejak bulan April lepas, pengguna WhatsApp di negara terpilih telah mula menerima akses kepada Meta AI. Antara ciri yang boleh digunakan adalah berbual bersama Meta AI dengan tag @ pada WhatsApp untuk mula menjana sebarang teks atau gambar untuk dihantar.

Ciri lain yang sedang diuji adalah mengubah gambar pengguna menjadi apa sahaja. Kemudian terbaru, Meta AI dilihat tidak lama lagi boleh membantu pengguna menyunting gambar. Selepas pengguna memuat naik gambar pada WhatsApp, Meta AI akan menganalisa gambar dan ia boleh membalas mesej anda. Kemudian hanya sambung balas untuk mengarahkan Meta AI melakukan suntingan.

Suntingan yang boleh dilakukan masih tidak jelas. Ia mungkin adalah seakan AI Eraser, di mana pengguna boleh buang atau tambah objek atau juga seakan penyunting gambar lain yang boleh mengubah tahap keseimbangan warna putih, pencahayaan dan sebagainya. Diharapkan, apabila ciri ini stabil Meta AI akan diberikan kepada pengguna Malaysia pula.

Komen