Carian
CelcomDigi Membuka Pusat Pengalaman AI Untuk Sektor Pendidikan Dan Industri
July 10, 2024 Nazrin

CelcomDigi, syarikat telekomunikasi gergasi di Malaysia baru-baru ini telah melancarkan pusat pengalaman AI mereka sendiri yang dinamakan CelcomDigi AI Experience Centre (AiX) di bangunan CelcomDigi Hub di Subang Jaya Hi-Tech Park.

Pusat AiX ini dibangunkan bersama-sama gabungan tenaga dan kepakaran 40 syarikat teknologi global, diantaranya termasuklah Huawei, ZTE, AWS, Digital Nasional Berhad, Ericsson, Microsoft, SK Telecom, Softbank, Sumitomo dan Yinson.

Pusat AiX ini terdiri daripada beberapa bahagian, seperti bilik The Infinity yang memperlihatkan tayangan projektor di tiga sisi bilik yang memperlihatkan contoh-contoh teknologi 5G dan kecerdasan buatan yang boleh diperlihatkan di AiX sebelum anda melihat pameran-pameran lain.

The Gallery pula merupakan ruang pameran teknologi-teknologi 5G dan kecerdasan buatan yang bukan sahaja diperlihatkan sebagai contoh teknologi yang boleh digunakan, tetapi adalah teknologi yang sudahpun diimplementasi di sekitar negara, sekurang-kurangnya di kawasan-kawasan dimana rangkaian 5G sudahpun aktif dan digunakan.

Diantara pameran yang diperlihatkan ialah tiang lampu pintar, yang hadir dengan pengimbas terbina yang boleh memberitahu komputer pusat samada mentol masih elok atau perlu ditukar, dan juga hadir dengan pemancar 5G untuk memastikan jalan-jalan hadir dengan rangkaian internet yang pantas.

Satu lagi pameran ialah penggunaan teknologi telekesihatan dimana pesakit boleh bertemu dan mendapatkan diagnosis tentang penyakit-penyakit biasa yang sedang dihadapi, seperti darah tinggi, diabetes, demam dan sebagainya. Satu eksperimentasi yang diperlihatkan juga di pusat AiX ini ialah pembedahan secara jarak jauh menggunakan robot dan juga rangkaian 5G yang mempunyai lengah masa rendah.

Dalam pada itu, CelcomDigi juga memperlihatkan pameran menggunakan kecerdasan buatan dan robotik dalam sektor pembuatan, logistik, tenaga, pelabuhan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan teknologi pertanian di ruang pameran The Gallery.

Terdapat juga beberapa teknologi seperti kenderaan swapandu, robot penghantaran barang dan juga ladang pintar yang boleh dilihat dan dialami sendiri di sekitar CelcomDigi AiX ini.

CelcomDigi mengatakan bahawa buat masa ini, ruang pameran Artificial Intelligence Experience Centre hanya akan dibuka pada masa-masa tertentu untuk para pelawat dari sektor-sektor seperti pendidikan, agensi kerajaan dan juga wakil-wakil dari syarikat korporat yang mahu melihat bagaimana mereka boleh mengimplimentasi teknologi ini didalam operasi harian mereka.

Komen