Carian
Butiran Peribadi Pelanggan ZOTAC Tertiris Ke Arena Web Kerana Kecuaian Syarikat
July 9, 2024 Nazrin

Pada hujung minggu lalu, saluran YouTube teknologi PC Gamers Nexus telah melaporkan bahawa butiran peribadi para pelanggan jenama pembuat komponen komputer ZOTAC telah tertiris ke arena web kerana kecuaian syarikat tersebut dalam cara mereka menyimpan data para pelanggan ini.

Apa yang telah berlaku ialah seorang penonton saluran YouTube tersebut telah menghantar komponen beliau sendiri ke ZOTAC untuk diperbaiki, dan setelah mendaftarkan butirannya kedalam borang RMA (Return Material Authorization (RMA) untuk diperbaiki ataupun diganti, individu tersebut telah cuba mencari butiran yang diberikan kepada ZOTAC untuk melihat samada ia boleh dicari melalui carian Google.

Malang tidak berbau, bukan sahaja butiran indidividu tersebut dapat ditemui, tetapi juga beratus pelanggan ZOTAC yang lain yang telah mendaftar pada borang RMA ini, dan sedang menunggu untuk komponen-komponen mereka diperbaiki.

Perkara ini kemudiannya diberitahu kepada pihak Gamers Nexus, yang kemudiannya telah memberitahu kepada pihak ZOTAC supaya ketirisan ini diambil tindakan yang sepatutnya, seperti menyulitkan dokumen RMA ini yang mengandungi banyak butiran peribadai pengguna mereka.

Menurut Gamers Nexus, butiran yang dapat dilihat termasuklah nama penuh, nombor telefon, alamat emel dan juga alamat rumah. Selain daripada itu, maklumat sulit lain yang dapat dilihat oleh orang ramai termasuklah invois kepada syarikat-syarikat komputer lain dan juga butiran peribadi para pekerja mereka sendiri, seperti nombor keselamatan sosial dan sebagainya.

Apabila carian RMA Zotac dibuat, penyenaraian URL masih lagi dapat dilihat, tetapi apabila pautan tersebut diketik, butiran sulit didalam dokumen-dokumen tersebut tidak lagi diperlihatkan, dan nampaknya ZOTAC telah membetulkan akses kepada dokumen-dokumen ini.

Komen