Samsung Galaxy Z Fold6 dilancarkan di Paris hari ini dan akhirnya dengan beberapa penambahbaikan yang diminta oleh pengguna sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Berikut ialah pandangan pertama saya mengenai peranti skrin lipat dengan skrin besar terkini daripada Samsung.
Spesifikasi
Samsung Galaxy Z Fold6 | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.3″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz HDR10+ |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy (4nm) |
Cip | 1 X 3.36 GHz Cortex-X32 2 X 2.8 GHz Cortex-A715 2 X 2.75 GHz Cortex-A710 3 X 2.00 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 750 |
RAM | 12GB LPDDR5X 8GB RAM Plus |
Muatan Dalaman | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 10MP, OIS, f/2.4 3x Zum Optikal (Telefoto) |
Kamera Swafoto | 10MP f/2.2 (Luar) 4MP f/1.8 UDC (Dalam) |
Bateri | 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 11W Pengecasan berbalik 4.5W |
SIM/Telefoni | 2 Nano, 1 eSIM 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP48 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
Harga Jualan | RM 7,299 (12/256GB) RM 7,899 (12/512GB) RM 9,099 (12/1TB) |
SKRIN dan REKAAN
Seperti rekaan prototaip yang saya lihat di Seoul tahun lalu, Z Fold6 tahun ini akhirnya memberikan skrin luar yang mempunyai nisbah skrin lebih mirip sebuah telefon pintar jenis candybar biasa. Ia 1.4mm lebih rendah tetapi 1mm lebih lebar. Hasilnya ialah skrin luar kini sebesar 6.3″ dan bukan lagi 6.2″ tetapi masih lagi dari jenis Dynamic AMOLED 2X 120Hz. Dari luar Z Fold6 kelihatan seperti sebuah S24 Ultra kerana skrin luar kini berkotak tanpa bucu yang dibulatkan.

Skrin dalam masih lagi kekal 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz dan hadir sistem kamera bawah skrin UDC. Sokongan stylus S Pen juga dikekalkan tetapi masih tiada tempat simpanan terbina pada tubuh. Seperkara lagi yang tidak berubah ialah garisan lipatan yang masih lagi kelihatan walaupun kurang ketara. Garisan lipatan ini masih belum mampu diselesaikan oleh Samsung. Malahan setakat ini Oppo, Huawei, Honor dan Tecno juga masih belum mempunyai penyelesaian kepada isu yang wujud pada semua peranti skrin lipat ini.
Engsel tahun lalu dikemaskini lagi bagi menghasilkan peranti yang dilipat dengan lebih rapat. Malah menerusi kemas kini rekaan, Z Fold6 melepasi piawaian IP48 tahun ini yakni akhirnya mempunyai kemampuan tahun debu buat pertama kali. Tahun lalu Z Fold5 sekadar melepasi piawaian IPX8. Proses membuka dan menutup terasa lancar tanpa tentangan kuat kepada daya yang dikenakan oleh tangan.

Perubahan kedua yang lebih ketara ialah rekaan tubuh yang kini benar-benar berkotak. Lebih berkotak jika dibandingkan dengan siri Galaxy S24 yang dilancarkan pada Januari lalu. Saya cukup suka dengan estetik baharu ini kerana membuatkan peranti nampak lebih tegap dan wujud ilusi optik ia kelihatan lebih nipis.
Yang bukan ilusi ialah Z Fold6 adalah jauh lebih ringan kerana hanya sebesar 239 gram yang hanya 7 gram lebih berat berbanding S24 Ultra. Jika selama ini anda merasakan siri Z Fold adalah terlalu berat, model tahun ini adalah yang paling ringan pernah dihasilkan.

Kemasan panel belakang Gorilla Glass Victus 2 dan sisi peranti adalah kusam yang membuatkan ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah dan juga kurang licin. Butang kuasa dan laras suara masih lagi diletakkan pada “pintu” kanan dengan butang kuasa juga merangkap pengimbas cap jari.
Pada bahagian atas pintu kiri terdapat kekisi audio dengan rekaan alur nipis. Elemen dari siri S24 digunakan semula pada Z Fold6. Di bahagian bawah pintu kiri diletakkan sebuah lagi alur untuk kekisi audio. Ini adalah bagi memastikan audio stereo yang seimbang dapat dihasilkan. Pada bahagian bawah pintu kanan pula terdapat port pengecasan USB-C.

Tiga kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 10MP telefoto sehingga 3X optikal. Pada skrin dalam terdapat kamera swafoto 4MP bawah skrin dan di skrin luar pula kamera swafoto 10MP dalam lubang skrin. Ya tiada langsung perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera Z Fold6.
Ini pada hemat kami mengecewakan tetapi ini telahpun dilakukan Samsung pada S24 Ultra yang juga mengitar semula komponen model tahun lalu. Perbezaan hanyalah pada lensa kamera yang lebih besar digunakan. Kerana saiz lensa lebih besar, bonggol kamera tahun ini nampak lebih seimbang dengan tubuh peranti. Secara keseluruhan peranti nampak lebih kemas, tegap dan mirip sebuah S24 Ultra cuma dengan skrin yang dilipat.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 6.1.1 berasaskan Android 14 digunakan. Versi ini lebih terkini berbanding yang digunakan pada S24 Ultra dan Z Fold5 yang kini menggunakan versi One UI 6.1. Maka tiada perubahan yang drastik antara kedua-dua versi ini. Malahan saya difahamkan perubahan hanyalah pada beberapa ciri AI baharu yang akan disenaraikan di bawah.

Peranti beroperasi dengan lancar dibantu oleh pemproses Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy, memori sebesar 12GB RAM dan storan sehingga 1TB. Seperti saya katakan di atas tiada ciri standard baharu diperkenalkan. Masih terdapat ciri seperti menyambung tontonan dari skrin luar ke dalam, melihat peranti untuk menonton video hanya pada sebelah skrin, multi window tiga aplikasi serentak dan taskbar pada bahagian bawah yang memudahkan proses multi tugas.
Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM. Terdapat juga pilihan hanya menambah 2, 4, dan 6 GB RAM maya.

Kekuatan Samsung masih lagi terletak pada perisian. Seperti siri Galaxy S24, Galaxy Z Fold6 dan juga Galaxy Z Flip6 akan menerima sokongan sistem operasi serta tampalan sekuriti selama tujuh tahun yang jauh lebih lama berbanding pengeluar peranti Android lain kecuali Google.
Galaxy AI

Dalam mod Interpreter, skrin luar boleh memaparkan perbualan yang dialih bahasa secara masa nyata. Seterusnya Sketch to Image mengubah lakaran menggunakan S Pen menjadi lukisan sebenar dengan bantuan AI.
Portrait Studio pula mengubah gambar wajah menjadi seakan kartun 3D, lakaran atau lukisan air. Ini kemudiannya boleh digunakan sebagai avatar peribadi di media sosial. Mod ini juga membolehkan pengguna menambah objek dalam gambar yang diambil. Berdasarkan lakaran topi di atas kepala, pelbagai topi yang kelihatan realistik boleh dijana tanpa pengguna melakukan suntingan secara manual.

Mode Composer juga diperkenalkan bagi membantu penulisan. Terdapat tiga pilihan iaitu Email, Social Media dan Comment. Teks yang bersesuaian akan dijana oleh Galaxy AI sekiranya pengguna tidak mahu menulis sendiri emel panjang yang perlu dihantar misalnya. Akhir sekali Circle to Search ditambah baik dengan kemampuan menjawab soalan matematik.

KESIMPULAN
Samsung Galaxy Z Fold6 adalah lebih ringan, skrin luar lebih lebar, nampak lebih tegap dan diperkasakan dengan perisian Galaxy AI yang dipertingkatkan berbanding yang diperkenalkan sebelum ini. Dari segi penggunaan ia masih lagi peranti yang sama dengan sistem kamera serta kapasiti bateri yang tidak diberikan sebarang perubahan. Pertaruhan Samsung tahun ini ialah perubahan yang dilakukan walaupun agak minima dan kemampuan AI boleh menarik perhatian pengguna untuk membeli Z Fold6 baharu.

Persaingan dalam kategori peranti skrin boleh lipat sudah semakin sengit berbanding lima tahun yang lalu. Dapat kita lihat Honor menawarkan peranti yang lebih nipis. Vivo pula dengan kamera yang lebih baik sementara Oppo pula menawarkan rekaan yang paling mesra pengguna untuk digunakan sebelah tangan.
Dengan harga jualan bermula RM7299 sebuah, harus diakui Z Fold6 jatuh ke dalam kategori mewah kerana lebih mahal berbanding model tahun lalu. Nantikan ulasan saya untuk peranti ini dalam masa terdekat.
Pro
- Rekaan lebih berkotak tetapi lebih selesa di dalam tangan.
- Spesifikasi tinggi kelas mercu yang menjadikan penggunaan terasa lancar.
- Masih peranti skrin boleh-lipat dengan sokongan perisian terbaik.
- Ciri AI yang inovatif.
- Kalis air IP48
- Sokongan tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.
Kontra
- Kamera yang sama dengan Z Fold5.
- Pengecasan masih sekadar 25W.
- Skrin dalam masih mempunyai kedut lipatan.
- Peningkatan harga yang mendadak.