Carian
Tikus Makmal Dengan 100% Sistem Imun Manusia Berjaya Dihasilkan
July 10, 2024 Effi Saharudin

Kerap kali kami laporkan di Amanz, beberapa rawatan baharu penyakit seperti kanser berjaya diuji pada tikus makmal. Kemudian ujian klinikal ke atas manusia pula dilakukan bagi melihat keberkesanannya. Ini kerana sistem imun dan biom tikus berbeza dengan manusia. Tetapi saintis dari University of Texas Health Science Center di San Antonio mengumumkan kejayaan menghasilkan tikus makmal yang mempunyai sistem imun dan biom perut yang 100% sama dengan manusia.

Tikus TruHuX diubah sistem imunnya menjadi sama dengan manusia menerusi rawatan sel tunjang dan juga hormon. Selepas beberapa minggu, TruHuX mempunyai nodus limfa, pusat germinal, sel epitelium manusia timus, limfosit T dan B manusia, limfosit B memori dan sel plasma yang menyerupai manusia.

Dengan ini TruHuX boleh menjadi analog kepada manusia yang lebih tepat dalam ujian makmal. Ia telahpun digunakan untuk melakukan kajian jangka panjang Covid-19 ke atas tubuh manusia. Di masa hadapan ia boleh digunakan untuk membangunkan vaksin, menghasilkan rawatan penyakit dan menguji kesan ubat baharu dihasilkan.

Saintis telahpun menghasilkan tikus yang diubah gen untuk menyerupai manusia sejak 1980an dan digunakan untuk melakukan kajian HIV tetapi mempunyai hayat yang pendek. Tetapi tikus dengan 100% sistem imun manusia tidak berjaya dihasilkan sehinggalah sekarang.

Komen