Carian
Samsung Galaxy Z Fold6 Dilancarkan Dengan Rekaan Baharu – Harga Bermula RM7299
July 10, 2024 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Z Fold6 telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi sebagai peranti skrin lipat paling berkuasa pernah dihasilkan mereka dengan beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) baharu. Perubahan paling besar dapat dilihat pada rekaan tubuh dan skrin yang kini lebih berkotak.

Sekilas pandang dari hadapan, Z Fold6 mempunyai rekaan yang mirip dengan Galaxy S24 Ultra. Bukan itu sahaja peranti kini lebih pendek dan dengan berat 239 gram, ia sekadar 7 gram sahaja lebih berat berbanding sebuah Galaxy S24 Ultra.

Skrin luar kini ialah 6.3″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz yang lebih besar berbanding 6.2″ tahun lalu. Ini adalah kerana skrin kini semakin lebar bagi memudahkan peranti digunakan hanya dengan sebelah tangan. Skrin dalam pula masih lagi 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz tetapi lebar fizikal kini 2mm lebih lebar berbanding Z Fold5.

Sokongan S Pen masih lagi diberikan tetapi hanya untuk skrin dalaman dan masih tiada tempat simpanan stylus terbina pada tubuh. Namun begitu tubuh peranti sekarang melepasi piawaian kalis debu dan air IP48.

Peranti dijana oleh cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy, dilengkapi memori sebesar 12GB RAM, storan sehingga 1TB, dan bateri pula sebesar 4400 mAh yang sekadar menyokong pengecasan 25W yang agak perlahan untuk peranti mercu 2024.

Kamera utama pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP yang dipadankan kepada lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa telefoto 10MP yang menyokong zum optikal 3X. Kamera swafoto luaran adalah sebesar 10MP manakala di bahagian dalam pula masih lagi 4MP yang disorokkan di bawah skrin. Saiz bateri dan kesemua sensor kamera yang digunakan oleh Z Fold6 dikitar semula daripada Z Fold5.

Keunikan model tahun ini ialah ciri khusus Galaxy AI untuk peranti skrin lipat. Dalam mod Interpreter, skrin luar boleh memaparkan perbualan yang dialih bahasa secara masa nyata. Seterusnya Sketch to Image mengubah lakaran menggunakan S Pen menjadi lukisan sebenar dengan bantuan AI.

Portrait Studio pula mengubah gambar wajah menjadi seakan kartun 3D, lakaran atau lukisan air. Ini kemudiannya boleh digunakan sebagai avatar peribadi di media sosial. Mod ini juga membolehkan pengguna menambah objek dalam gambar yang diambil. Berdasarkan lakaran topi di atas kepala, pelbagai topi yang kelihatan realistik boleh dijana tanpa pengguna melakukan suntingan secara manual.

Mode Composer juga diperkenalkan bagi membantu penulisan. Terdapat tiga pilihan iaitu Email, Social Media dan Comment. Teks yang bersesuaian akan dijana oleh Galaxy AI sekiranya pengguna tidak mahu menulis sendiri emel panjang yang perlu dihantar misalnya. Akhir sekali Circle to Search ditambah baik dengan kemampuan menjawab soalan matematik.

Kesemua ciri ini diberikan menerusi sistem operasi OneUI 6.1.1 yang berasaskan Android 14. Samsung mengatakan sebahagian ciri-ciri baharu ini akan turut diberikan kepada peranti sedia ada bergantung kepada kemampuan cip pemproses yang digunakan. Seperti siri Galaxy S24, Galaxy Z Fold6 akan menerima sokongan kemas kini sistem operasi dan tampalan sekuriti selama tujuh tahun.

Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Fold6 adalah seperti di bawah dengan pratempahan sudah boleh dilakukan sekarang manakala jualan terbuka adalah bermula 24 Julai. Warna yang ditawarkan ialah Silver Shadow, Pink and Navy. Terdapat juga pilihan warna Crafted Black, dan White tetapi ini hanya ditawarkan menerusi pembelian secara atas talian.

  • Samsung Galaxy Z Fold6 (12/256GB) – RM 7299
  • Samsung Galaxy Z Fold6 (12/512GB) – RM 7899
  • Samsung Galaxy Z Fold6 (12/1000GB) – RM 9099
Komen