Samsung Galaxy Z Fold6 bukan satu-satunya peranti skrin lipat yang dilancarkan ketika acara Unpacked 2024 malam ini. Turut dilancarkan ialah Samsung Galaxy Z Flip6 yang juga hadir dengan beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) baharu. Tiada perubahan drastik dilakukan tahun ini dari segi rekaan luaran dengan tumpuan diberikan kepada perkakasan dalaman.

Skrin dalam kekal sebesar 6.7″ dar jenis Dynamic AMOLED 2X 120Hz seperti tahun lalu. Skrin sekunder pada bahagia penutup juga masih lagi kekal 3.4″ SAMOLED 60Hz. Samsung berkata skrin luar kini boleh menyokong lebih banyak aplikasi supaya peranti boleh digunakan tanpa skrin dibuka. Peranti juga akhirnya melepasi piawaian kalis air serta debu IP48. Tahun lalu Z Flip5 hanya hadir dengan piawaian IPX8.

Peranti dijana oleh cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy, dilengkapi memori sebesar 12GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri pula sebesar 4000 mAh yang sekadar menyokong pengecasan 25W yang agak perlahan. Perubahan yang dilakukan ialah tiada lagi model dengan 8GB RAM dan bateri meningkat berbanding 3700 mAh pada Z Flip5.
Kamera utama pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP yang dipadankan kepada lensa ultra sudut lebar 12MP. Ini menggantikan sistem kamera 12+12 MP yang digunakan sebelum ini. Kamera swafoto pula kekal 10MP. Gelung logam yang mengelilingi bonggol lensa kini mempunyai warna yang sepadan dengan warna tubuh.

Seperti pada Z Fold6, keunikan Z Flip6 tahun ini ialah ciri khusus Galaxy AI untuk peranti skrin lipat. Dalam mod Interpreter, skrin luar boleh memaparkan perbualan yang dialih bahasa secara masa nyata. Ciri AI Zoom pula dengan bijak melakukan zum apabila mengambil gambar swafoto menggunakan kamera utama dalam Flex Mode. Flex Mode juga boleh digunakan untuk melakukan rakaman video seakan memegang kamera camcorder.

Portrait Studio pula mengubah gambar wajah menjadi seakan kartun 3D, lakaran atau lukisan air. Ini kemudiannya boleh digunakan sebagai avatar peribadi di media sosial. Mod ini juga membolehkan pengguna menambah objek dalam gambar yang diambil. Berdasarkan lakaran topi di atas kepala, pelbagai topi yang kelihatan realistik boleh dijana tanpa pengguna melakukan suntingan secara manual.
Mode Composer juga diperkenalkan bagi membantu penulisan. Terdapat tiga pilihan iaitu Email, Social Media dan Comment. Teks yang bersesuaian akan dijana oleh Galaxy AI sekiranya pengguna tidak mahu menulis sendiri emel panjang yang perlu dihantar misalnya. Akhir sekali Circle to Search ditambah baik dengan kemampuan menjawab soalan matematik.

Kesemua ciri ini diberikan menerusi sistem operasi OneUI 6.1.1 yang berasaskan Android 14. Samsung mengatakan sebahagian ciri-ciri baharu ini akan turut diberikan kepada peranti sedia ada bergantung kepada kemampuan cip pemproses yang digunakan. Seperti siri Galaxy S24, Galaxy Z Fold6 dan Galaxy Z Flip6 akan menerima sokongan kemas kini sistem operasi dan tampalan sekuriti selama tujuh tahun.

Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Flip6 adalah seperti di bawah dengan pratempahan boleh dilakukan sekarang manakala jualan terbuka adalah bermula 24 Julai. Warna yang ditawarkan ialah Silver Shadow, Yellow, Blue dan Mint. Tetapi warna Crafted Black, White dan Peach juga ditawarkan tetapi ia hanya boleh dibeli secara atas talian.
- Samsung Galaxy Z Flip6 (12/256GB) – RM 4999
- Samsung Galaxy Z Flip6 (12/512GB) – RM 5599
