Carian
Paparan Pintar Acer CS272 Yang Dikuasakan WebOS Kini Ditawarkan Pada Harga RM999
July 10, 2024 Nazrin

Apabila bercakap mengenai paparan dengan ciri-ciri “pintar”, secara lazimnya kita akan teringat tentang televisyen pintar yang hadir dengan sistem operasinya tersendiri. Kali ini Acer Malaysia telah memperlihatkan paparan skrin pintar pertama mereka, iaitu Acer CS272 yang juga hadir dengan sistem operasi terbina.

Acer CS272 ialah sebuah paparan skrin IPS bersaiz 27 inci yang hadir dengan resolusi Full HD dan hadir dengan rekaan nirbingkai Zero Frame yang memperlihatkan rekaan hampir nirbingkai pada tiga sisi paparan skrin ini.

Keunikan paparan ini hadir melalui penggunaan sistem operasi WebOS yang dimiliki LG dan secara ringkasnya, paparan ini boleh digunakan sebagai sebuah komputer, dan untuk tujuan riadah, paparan ini juga hadir dengan aplikasi penstriman video terbina seperti Netflix dan YouTube.

Untuk tujuan sambungan dengan peranti lain, paparan Acer CS272 ini juga hadir dengan sokongan penstriman dari peranti melalui ciri Apple AirPlay, Miracast dan ciri screen mirroring untuk pelbagai jenis peranti pintar dan juga komputer riba.

Acer Malaysia mengatakan bahawa paparan skrin Acer CS272 ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM999 melalui kedai atas talian Acer Malaysia di Shopee dan Lazada.

Komen