Carian
Siri Samsung Galaxy Buds3 Kini Rasmi Dengan Rekaan Bertangkai – Harga Bermula RM599
July 10, 2024 Fahim Zahar

Samsung Galaxy Buds3 dan Galaxy Buds3 Pro turut dilancarkan secara rasmi hari ini. Ia adalah TWS generasi baharu Samsung yang bukan sahaja lengkap dengan Galaxy AI tetapi turut hadir dengan rekaan baharu. Selepas bertahun menggunakan rekaan lebih kurang sama, tahun ini setiap Buds3 hadir dengan tangkai seakan AirPods Pro.

Galaxy Buds3 Pro

Samsung turut membawakan beberapa ciri unik eksklusif kepada Galaxy Buds3 sahaja. Antaranya adalah Interpreter yang menggunakan Galaxy AI untuk penterjemahan secara masa nyata. Ciri seperti Adaptive EQ, Adaptice ANC, Adaptive Noise Cancellation dan Voice Detect turut diberikan untuk penggunaan yang lebih baik serta tidak leka. Samsung turut memperkenalkan codec tersendiri baharu iaitu SSC Ultra High Quality untuk sokongan audio berformat resolusi lebih tinggi.

Galaxy Buds3

Setiap Galaxy Buds3 turut menyertakan sokongan Super-Wideband untuk panggilan telefon yang lebih jelas dan berkualiti. Seperti sebelum ini, pengguna turut masih boleh menyeru Bixby dengan ciri Voice Command untuk pelbagai kawalan.

Galaxy Buds3 Pro

TWS ini menggunakan dwi-pemandu audio 10.5mm dinamik + 6.1mm planar, mempunyai 3x mikrofon, menyokong audio SSC UHQ dan Hi-Fi 24bit (hanya pada Galaxy S24, S23, Z Fold6, Z Flip6, Z Fold5, Z Flip5 dan Tab S9) dan juga audio spatial 360 darjah. Sistem Bluetooth 5.4 pada Buds3 Pro menyokong Auto Switch untuk tukar antara peranti, mempunyai sensor Voice Pickup Unit dan juga perlindungan IP57.

Bateri Buds3 Pro boleh bertahan sehingga 22 jam dengan sokongan pengecasan USB-C atau secara nirwayar. Khusus untuk model Pro, jalur LED Blade Light diintegrasikan pada setiap fon telinga untuk menunjukkan status tambatan serta carian melalui SmartThings. Jalur hitam pada tangkai Buds3 Pro ini turut boleh digunakan sebagai pad sesentuh untuk kawalan gestur.

Galaxy Buds3

TWS ini pula adalah versi yang lebih mampu milik, tetapi masih berada dalam kelas mercu. Ia hanya mempunyai satu pemandu audio iaitu bersaiz 11mm jenis dinamik. Lain-lain spesifikasi seperti Bluetooth 5.4, Auto Switch, audio SSC UHQ dan banyak lagi adalah sama dengan Pro. Malah saiz dan rekaan juga sama. Beza utama yang lain selain pemandu audio adalah pada bateri yang hanya bertahan sehingga 20 jam serta ketiadaan Blade Light pada setiap fon telinga.

Harga Jualan

Di Malaysia, Samsung Galaxy Buds3 Pro dijual pada harga RM999, sementara Galaxy Buds3 pula pada harga RM599. Kedua-dua Buds mempunyai dua pilihan warna iaitu Grey atau White. Pratempahan bermula hari ini dan akan tersedia kepada umum 24 Julai ini.

Sempena pelancaran, pengguna yang pra-tempah akan menerima pelindung pod pengecas bernilai RM169 secara percuma. Khusus untuk Samsung Members, pembelian Buds3 melayakkan anda menerima baucar diskaun RM100 sementara Buds3 Pro pula RM200.

Komen