Carian
Samsung Galaxy Ring Kini Rasmi – Tidak Dijual Di Malaysia
July 10, 2024 Fahim Zahar

Hari ini, Samsung turut melancarkan cincin pintar yang telah diacah sejak bulan Februari lepas. Ia adalah peranti boleh pakai kategori baharu yang boleh digunakan bersama-sama dengan peranti Galaxy lain sedia ada termasuk Galaxy Watch.

Banyak ciri pada Galaxy Ring ini adalah mirip dengan Galaxy Watch seperti memantau degupan jantung, memastikan pengguna tidur nyenyak, menjejak pergerakan setiap tapak atau juga dengkuran. Ia menggunakan tiga sensor yang direka khas untuk cincin ini. Galaxy Ring mempunyai ketahanan bateri mencapai 7 hari dan boleh dicas dalam kerangka penyimpan kecil yang mempunyai bateri 361mAh. Bateri pula bergantung kepada saiz cincin iaitu dari 18mAh ke 23.5mAh. Berat setiap cincin pula adalah 2.3 gram ke 3.0 gram yang jauh lebih ringan berbanding cincin pesaing.

Cincin ini turut mempunyai ciri Lost Mode untuk memudahkan pengguna mencari cincin yang hilang. Seperti peranti boleh pakai Samsung yang lain, Galaxy Ring juga memerlukan aplikasi Galaxy Wearables dan hanya berfungsi baik dengan peranti Samsung. Menariknya, Samsung menjanjikan tiada sebarang langganan dikenakan untuk Galaxy Ring.

Harga jualan Galaxy Ring adalah $399 iaitu sekitar RM1,876 dengan tiga pilihan warna iaitu Titanium Black, Titanium Silver atau Titanium Gold. Samsung menawarkan 9 saiz iaitu 5 ke 13. Ia tidak akan dijual di Malaysia buat masa ini.

Komen