Microsoft hari ini dilihat telah meninggalkan jawatan lembaga pemerhati pada OpenAI – dilihat ramai sebagai salah satu usaha untuk mengelak menjadi masalah melibatkan badan kawal selia pada kemudian hari. Selain Microsoft, Apple yang telah dilaporkan merancang menyertai lembaga pemerhati OpenAI juga dikatakan telah menolak tawaran berkenaan.
Menyentuh mengenainya, OpenAI kini menyatakan mereka sedang membentuk sebuah kaedah baharu dalam sering bertemu dengan rakan kerjasama seperti Microsoft dan Apple, selain para pelabur untuk berkongsi perkembangan semasa, serta misi dalam memastikan platform mereka selamat.
Ia dispekulasikan syarikat gergasi teknologi tidak ingin terlibat dengan OpenAI untuk mengelak disiasat badan kawal selia, terutamanya di Kesatuan Eropah. Kebelakangan ini juga, beberapa perkara melibatkan syarikat dan firma kecerdasan buatan mula dipersoalkan ramai, termasuk dari segi privasi, ketulenan data, dan sebagainya. Semestinya syarikat gergasi tidak ingin terlibat dengan sebarang perkara negatif seperti ini, dan menjarakkan diri sejauh yang boleh.
Untuk makluman, sebelum ini Microsoft telah melabur sekitar $10 bilion, sekaligus memberikan Microsoft akses kepada sejumlah produk OpenAI, disamping memastikan pembangunan kecerdasan buatan OpenAI dilakukan menggunakan infrastruktur Microsoft.