Samsung Galaxy Z Fold6 dan Galaxy Z Flip6 dilancarkan minggu ini dengan ia membawakan pelbagai ciri-ciri baharu yang menarik. Pratempahan telah mula dibuka di Malaysia sehingga 24 Jun. Bagi pembaca yang ingin melakukan pembelian, kami senaraikan 10 perkara menarik dan mengecewakan pada kedua-dua telefon skrin lipat ini supaya anda boleh mengetahui sama ada ia memenuhi keperluan penggunaan harian.
Menarik – Rekaan Z Fold6 Semakin Menarik dan Lebih Ringan

Rekaan Z Fold6 tahun ini langsung tidak mengecewakan kerana merealisasikan dua ciri yang diminta oleh pemilik sejak generasi pertama. Pertama sekali ialah tubuh kini lebih berkotak dan skrin luar lebih lebar. Skrin luar sebesar 6.3″ mempunyai nisbah yang lebih mirip telefon pintar candy bar biasa. Menaip semakin selesa tanpa skrin terasa sempit.
Badan berkotak membuatkan peranti terasa lebih kukuh dan mantap di dalam tangan. Kemasan tidak berkilat juga membantu untuk mengurangkan masalah tubuh terlalu mudah memerangkap kotoran. Seperkara lain yang agak mengejutkan ialah Z Fold6 kini semakin ringan. Dengan berat 239 gram, ia hanya 7 gram lebih berat berbanding sebuah S24 Ultra. Keluhan pengguna yang mengatakan siri Z Fold berat tidak akan berulang tahun ini.
Menarik – Live Translate Menggunakan Dua Skrin

Live Translate membolehkan perbualan antara dua individu yang tidak berkongsi bahasa yang sama boleh dilakukan secara masa nyata. Ia ciri yang kali pertama diperkenalkan menerusi siri Galaxy S24. Pada Z Fold6 dan Z Flip6, skrin sekunder di bahagian luar digunakan untuk membolehkan perbualan dua hala menerusi Liv Translate dilakukan dengan lebih mudah. Letakkan telefon dalam Flex Mode dan kedua-dua skrin akan diaktifkan untuk memaparkan teks audio perbualan yang dilakukan.
Mengecewakan – Pengecasan Masih Perlahan 25W

Kami kecewa kerana pengecasan pada Z Flip6 dan Z Fold6 masih lagi sekadar 25W yang kami kategorikan sebagai perlahan. Ini membuatkan bateri perlu dicas lebih sejam untuk mencapai kapasiti 100%. Sejak dua tahun lalu, kami sudah melihat peranti kelas pertengahan Vivo, Oppo, Realme dan OnePlus yang menyokong sekurang-kurangnya pengecasan 66W. Adalah tidak boleh dimaafkan telefon pintar berharga lebih RM4000 masih menggunakan pengecasan 25W pada tahun 2024. Sebagai perbandingan Vivo X Fold3 Pro yang juga sebuah peranti skrin lipat menyokong pengecasan 100W.
Menarik – Kemampuan Kali Air Lebih Tinggi IP48

Akhirnya telefon skrin lipat mempunyai kemampuan kalis air dan debu IP48. Hanya Z Flip6 dan Z Fold6 mempunyai kemampuan IP48 di pasaran. Peningkatan kemampuan berbanding IPX8 sahaja pada model-model terdahulu. Dalam pasaran yang semakin kompetitif, hanya Samsung menawarkan peranti skrin lipat dengan kemampuan kalis air dan debu. Bagi yang amat memerlukan ciri ini, Z Fip6 dan Z Fold6 adalah dua pilihan paling tepat.
Mengecewakan – Tiada Perubahan Besar Pada Konfigurasi Kamera

Kamera pada Z Fold6 adalah sama seperti Z Fold5 dan Z Fold4. Pada Z Flip6 pula, hanya satu kamera dipertingkat daripada 12MP ke 50MP. Ini bermakna siri Fold mengitar semula kamera yang sama selama tiga model berturut-turut. Jika siri Z Fold dan Z Flip adalah peranti mampu milik, mengitar semula komponen kamera boleh dimaafkan lagi bagi mengurangkan kos. Tetapi kedua-dua peranti skrin lipat ini dijual pada harga melebihi RM4000 sebuah. Apakah alasan yang munasabah daripada Samsung untuk tidak menaik taraf kamera secara lebih serius seperti pesaing?
Menarik – Ciri Galaxy AI Yang Dipertingkatkan

Memberikan ciri AI pada telefon pintar, tablet dan komputer ialah ciri paling hangat tahun ini. Siri Galaxy S24 pada Januari lalu menjadi telefon pintar pertama ditawarkan dengan pelbagai ciri AI di bawah payung Galaxy AI. Pada kedua-dua peranti ini, Samsung menawarkan beberapa lagi ciri Galaxy AI yang ekslusif serta berguna. Antara yang menarik perhatian ialah Chat Assist kini boleh diarahkan menulis untuk emel, media sosial dan komen di laman.
Turut disertakan ialah Sketch to Image yang menggunakan S Pen pada Z Fold6. Lakaran cakar ayam boleh diubah menjadi karya menarik menggunakan AI generatif. Gambar juga boleh disunting untuk menambah elemen menggunakan lakaran S Pen. Galaxy AI ialah ciri kecerdasan buatan paling lengkap di Android sebelum ini dan kini kemampuannya dipertingkatkan lagi.
Menarik – Bateri Galaxy Z Flip6 Lebih Besar

Bateri Z Flip6 kini 4000 mAh, 300 mAh lebih tinggi berbanding Z Flip5 tahun lalu. Kami lihat ini ialah pendekatan yang betul kerana antara isu yang sering didengari daripada pemilik Flip ialah hayat bateri yang kurang memuaskan jika dibandingkan dengan peranti bersaiz sama tetapi dari jenis skrin lipat.
Mengecewakan – Bateri Galaxy Z Fold6 Masih Kecil

Bateri Z Fold6 pula mengecewakan kerana kekal 4400 mAh yang sama sejak Z Fold3. Ini adalah keputusan mengecewakan kerana pada Z Fold2, Samsung boleh menyertakan bateri 4500 mAh. Bagi sebuah peranti dengan dwi-skrin besar, pemproses berkuasa dan sokongan 5G, bateri yang bersaiz agak kecil berbanding purata 5000 mAh adalah tidak mencukupi. Kami memahami terdapat kekangan teknologi tetapi Vivo X Fold3 Pro hadir dengan bateri 5700 mAh yang amatlah besar.
Menarik – Sokongan 7 Versi Android dan Tampalan Sekuriti 7 Tahun

Mahukan sokongan kemas kini sistem operasi dan tampalan sekuriti paling lama untuk peranti Android? Samsung komited memberikan kemas kini 7 versi Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun. Dengan peranti dijual pada harga yang semakin mahal, sokongan perisian yang baik sekurang-kurangnya dapat membuatkan peranti terasa lebih berbaloi untuk dimiliki.
Mengecewakan – Harga Meningkat Terlalu Mendadak

Harga kesemua model Z Flip6 dan Z Fold6 meningkat mendadak sekitar RM500 tahun ini. Bukan disebabkan oleh faktor kejatuhan Ringgit tetapi kerana Samsung sendiri meningkatkan harga di semua pasaran dunia. Mengapa ini dilakukan ketika dunia masih lagi bertarung dengan kos kehidupan harian yang tinggi tidak pula diketahui. Teori kami ialah peningkatan ini ialah bagi menanggung kos operasi ciri Galaxy AI yang bertulang belakangkan teknologi Google.
Sejurus selepas harga diumumkan ramai mengeluh kerana harga jualan yang dilihat kurang munasabah. Harga yang tinggi pasti mendatangkan impak kepada Samsung dalam masa terdekat kerana sudah dapat dilihat di pasaran seperti Malaysia, peranti yang dijual pada “harga patut” mendapat sambutan lebih menggalakkan sejak tiga tahun kebelakangan ini.