Carian
Selepas Penutupan Pelagak Permainan Yuzu, Nintendo Kini Menyasarkan Pelagak Lain Pula
July 11, 2024 Nazrin

Pada bulan Mac tahun ini, Nintendo telah berjaya menutup sebuah kumpulan yang membina perisian pelagak permainan mereka, iaitu Yuzu dan telah menyaman syarikat tersebut kerana pelanggaran hak intelek.

Terkini, Nintendo nampaknya juga telah berjaya menutup sejumlah kumpulan pembina pelagak permainan yang lain, termasuklah Suyu, Nuzu, Uzuy, Torzu dan Sudachi, dan memaksa mereka untuk menutup laman GitHub mereka.

Sebab mengapa Nintendo berjaya menutup kumpulan-kumpulan ini dengan cepat sekali adalah kerana kumpulan-kumpulan ini menggunakan kod sumber sama seperti apa yang digunakan oleh Yuzu, dan oleh kerana itu, Nintendo mempunyai sebab yang kukuh untuk menutup mereka, dan arahan ini dituruti oleh GitHub tanpa masalah.

Walaupun begitu, salah satu daripada kumpulan ini, iaitu Sudachi mengatakan bahawa mereka akan mula membangunkan perisian pelagak baru yang tidak menggunakan kod sumber Yuzu. Ini cukup menarik kerana walaupun Yuzu sendiri tidak menawarkan fail perisian permainan untuk digunakan bersama pelagak mereka, projek tersebut masih lagi ditutup.

Ia tidak diketahui lagi apakah perbezaan diantara pelagak Sudachi dan juga Yuzu yang akan mengelakkan mereka dari ditutup Nintendo, tetapi kami jangkakan kami akan lihat apa yang akan berlaku selepas ini.

Komen