Berita baik untuk anda yang sedang mencari biasiswa untuk sambung pengajian ke peringkat tinggi. Grab kini menawarkan biasiswa dan bantuan kewangan kepada lebih 300 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia. Inisiatif yang dinamakan sebagai GrabScholar ini diwujudkan bagi menyediakan sokongan kewangan untuk menampung yuran pengajian dan kos sara hidup pelajar sepanjang tempoh pembelajaran. Seterusnya diharapkan dapat membantu mereka menjalani pembelajaran dengan lebih selesa.

Selain daripada bantuan kewangan, Grab menyifatkan insiatif itu sebagai satu pelaburan terbaik untuk masa depan negara dalam usaha melahirkan generasi berilmu. Program anjuran Grab ini turut mendapat kerjasama dengan penglibatan dua rakan strategik iaitu Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan GoBarakah yang juga terbahagi kepada beberapa bahagian pinjaman. Pertama ialah biasiswa penuh GrabScholar yang merangkumi yuran pengajian penuh, elaun sara hidup bulanan, elaun pembangunan professional tahunan, elaun sekali bayar untuk pembelian seperti komputer riba dan program pembangunan kepimpinan selama dua tahun.


Pemohonan ini terbuka kepada semua mahasiswa yang sedang menjalankan tahun pertama program ijazah sarjana di mana-mana universiti tempatan di Malaysia. Selain mereka yang baru sahaja menamatkan program pra-universiti dengan tawaran bersyarat yang tertakluk pada penerimaan tawaran pengajian daripada universiti yang diiktirafkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kursus pengajian pula hendaklah berkaitan dengan Perniagaan, STEM (bukan perubatan), atau Kelestarian. Tiada kriteria akademik yang spesifik untuk memohon program biasiswa ini, bagaimanapun calon terpilih dikehendaki untuk mengekalkan PNGK (CGPA) 3.0 sepanjang program biasiswa.

Kedua ialah Dermasiswa GrabScholar yang terbuka kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah RM4,500 ke bawah dengan tanggunan elaun sekali bayar bernilai RM220 yang disediakan melalui e-baucar untuk pembelian barangan bagi tujuan pendidikan. Kedua-dua Biasiswa Penuh GrabScholar dan Dermasiswa GrabScholar ini terbuka kepada masyarakat umum, rakan-rakan Grab, dan ahli-ahli keluarga terdekat rakan Grab asalkan berstatus warganegara Malaysia.

Mana-mana individu yang berminat boleh membuat permohonan sehingga 22 Julai 2024 (11.59pm) untuk biasiswa penuh GrabScholar dan 31 Julai 2024 untuk Dermasiswa GrabScholar. Butiran lebih lanjut lawati laman web rami Grab Malaysia.