Carian
Pra-tempahan Microsoft Surface Pro 11 Dan Surface Laptop 7 Dengan Snapdragon X Kini Dibuka – Bermula dari RM5399
July 11, 2024 Nazrin

Dengan pelancaran siri cip pemprosesan Qualcomm Snapdtagon X Elite untuk peranti komputer riba dijana sistem operasi Windows for Arm pada bulan lepas, sejumlah jenama komputer riba nampaknya telah mula memperkenalkan penawaran mereka untuk pasaran Malaysia.

Terkini ialah Microsoft Malaysia, yang telah mengumumkan bahawa mereka telah membuka pra-tempah untuk peranti Microsoft Surface Pro 11 dan Surface Laptop 7 terbaru yang dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite terbaru.

Tablet Surface Pro 11 hadir dengan paparan skrin OLED PixelSense 13 inci dengan resolusi 2880×1920 dengan nisbah paparan 3:2. Dari segi spesifikasi dalaman, tablet ini dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dan juga Snapdragon X Plus, menjadikannya jenama pertama yang membawa masuk model tersebut ke pasaran tempatan.

Kesemua model Surface Pro 11 hadir dengan memori sebanyak 16GB dan pilihan storan 256GB, 512GB dan 1TB. Tablet ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi7 untuk sambungan internet pantas.

Sebagai langkah pelestarian syarikat dalam mengurangkan jejak karbon, 72 peratus daripada rangka tablet ini diperbuat daripada bahan kitar semula.

Komputer riba Microsoft Surface Laptop 7 pula hadir dengan pilihan konfigurasi CPU, memori dan storan yang sama, tetapi dari segi pilihan paparan, hadir dengan saiz 13.8 inci dan juga 15 inci.

Microsoft Malaysia mengatakan bahawa pra-tempahan untuk kedua-dua tablet dan komputer riba Microsoft Surface Pro 11 dan Microsoft Surface Laptop 7 dibuka bermula hari ini (11/7/2024) di All IT, iTworld by SNS Network, Gloo by SNS Network, Harvey Norman, PC Image, Senheng dan TMT by Thundermatch.

Tablet Microsoft Surface Pro 11 dan Microsoft Surface Laptop 7 dengan Snapdragon X Plus, memori 16GB dan storan 256GB ditawarkan pada harga permulaan RM5399, sehinggalah model termahal yang dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dengan memori 32GB dan storan 1TB dijual pada harga RM10,399.

Produk-produk ini akan mula dijual di pasaran tempatan bermula 6 Ogos 2024 ini.

Komen