Carian
OpenAI dan Makmal Los Alamos Melakukan Ujian Bagaimana AI Boleh Membantu Kajian Sains
July 11, 2024 Effi Saharudin

Kecerdasan buatan (AI) telah terbukti berkesan dalam mengesan sel kanser, melakukan ramalan kaji cuaca dan membantu membaca skrol purba yang berusia 2000 tahun. OpenAI hari ini mengumumkan kerjasama dengan Los Alamos National Laboratory untuk menguji penggunaan AI bagi membantu saintis melakukan penyelidikan dalam bidang biosains.

Antara yang bakal dilakukan ialah melihat sama ada AI seperti GPT-4o boleh membatu mengajar prosedur yang betul kepada juruteknik yang kurang mahir. GPT-4o juga boleh digunakan untuk memeriksa sama ada radas dipasang dan digunakan dengan hanya melihat menerusi kamera.

Sementara itu Los Alamos National Laboratory pula akan melihat sama ada wujud risiko AI boleh digunakan oleh pihak tertentu untuk mencipta senjata biologi. Antara risiko yang dikenalpasti sebelum ini ialah AI digunakan untuk mencipta letupan kerana ia mempunyai pengetahuan pelbagai topik.

Setakat ini teknologi OpenAI telahpun digunakan oleh Moderna untuk membantu ujian klinikal dengan menganalisa data yang telah dikumpul dan Color Health pula telah menggunakan GPT-4o untuk membantu melakukan keputusan saringan dan rawatan kanser. 

OpenAI memilih Los Alamos National Laboratory sebagai lokasi menguji AI bagi tujuan sains adalah agak menarik kerana 81 tahun yang lalu makmal ini bertanggungjawab membangunkan bom atom pertama menggunakan kepakaran ahli sains terkemuka J Robert Oppenheimer.

Komen