Sony ZV-E10 II Akan Dijual Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM4,999
Amy Maizuraa
Sony ZV-E10 II telah dilancarkan sebagai kamera digital baharu yang dihasilkan untuk golongan pencipta kandungan dan vlogger. Ia membuat kemunculan selepas tiga tahun pengenalan ZV-E10 pada 2021. Semakan kami mendapati bahawa harga jualan untuk pasaran Malaysia telah mula disenaraikan melalui laman web rasmi. Dengan ia ditawarkan pada RM4,999 untuk tubuh sahaja atau RM5,199 dengan dengan lensa Sony 16-50mm f/3.5-5.6 OSS II. Kedua-duanya hanya disenaraikan sebagai akan datang tanpa tarikh pembelian khusus yang diperincikan oleh Sony Malaysia setakat artikel ini ditulis.

Sony ZV-E10 II dilengkapi sensor 26-MP Exmor R CMOS APS-C yang dipadankan dengan cip pemprosesan imej Bionz XR. Ia peningkatan lebih baik berbanding sensor 24.2MP APS-C yang digunakan pada generasi terdahulu. Menurut Sony, kemampuan ZV-E10 II adalah setanding dengan kamera a6700 dan FX30 yang juga dikeluarkan oleh mereka. Ia juga mampu merakam video sehingga 4K/60p 10-bit 4:2:2 menerusi mod S-Log atau S-Cinetone.

Turut boleh diberi peningkatan pada kepantasan autofokus. Terdapat juga mod sinematik diberikan dengan ia merakam video pada nisbah 2.35:1 dan kadar bingkai 24P. Bagi pengkarya media sosial, antaramuka kamera telah dikemaskini untuk memudahkan rakaman video menegak. Bateri kini lebih baik dengan ia mampu memberikan tempoh rakaman sehingga 130 minit lebih lama berbanding 80 minit pada model pertama.
[sumber] Sony Malaysia [/sumber]